Sunday, 10 August 2014

‘Tak gentar langsung’



Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: “Tiada langsung perasaan gentar pada wajah mereka, termasuk kanak-kanak. Mungkin peperangan lebih 60 tahun menjadikan mereka semakin kuat mental dan fizikal,” kata Ahmad Safuan Ujar yang pernah menyertai misi kemanusiaan Muslim Care ke Gaza.

Baginya, keberanian pejuang di wilayah itu antara perkara paling mengagumkan dan sukar dilupakannya sehingga kini.

Lebih seminggu di sana, dia sempat meraikan ketibaan Ramadan bersama penduduk Gaza di Khan Younis, antara kawasan paling hampir dengan sempadan Israel.

Realitinya beberapa hari sebelum Ramadan, Ahmad Safuan berpeluang menyaksikan kemeriahan sambutan seakan-akan pesta dengan perarakan dan poster ditampal di merata tempat biarpun ketika itu mereka berperang.

Menurutnya, menjelang malam pertama Ramadan, dia juga melihat keterujaan penduduk Gaza yang memenuhi segenap ruang dalam masjid semata-mata bagi menunaikan solat Tarawih tak kira dewasa mahupun kanak-kanak.

Katanya, di Gaza, ahli kumpulan Al-Qassam sangat disegani dan digeruni masyarakat disebabkan perjuangan mereka dianggap mulia.

“Sesiapa saja yang menyertai kumpulan pejuang ini, keluarga mereka dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling kerana keberanian menentang rejim Zionis,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Pengalaman sama dikongsi Pengerusi Aqsa Syarif Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor yang mengetuai dua misi kemanusiaan ke Gaza pada 2012.

Katanya, biarpun paparan di media massa sering menonjolkan situasi menyedihkan di wilayah itu, hakikat adalah sebaliknya apabila mereka mempunyai semangat kental dalam mempertahankan tanah air mereka.

“Semangat mereka sangat tinggi.

Ini dibuktikan melalui pembinaan semula bangunan Islamic University of Gaza yang musnah dibedil pada 2008.

Sekembalinya kami ke sana pada 2012, universiti itu tersergam indah seakan-akan tiada apa pernah berlaku.

“Beberapa hari lalu ia dibedil lagi, namun saya tetap yakin mereka tidak akan berputus asa dan akan membinanya semula,” katanya.

Dr Hafidzi berkata, pihaknya juga dimaklumkan ketakutan tentera Israel terserlah bukan saja dengan membunuh diri, malah memakai lampin pakai buang di dalam kereta kebal kerana tidak mahu berdepan pejuang Al-Qassam.

“Perkara memalukan ini adalah realiti yang tidak pernah kita dengar berlaku pada pejuang Gaza, bahkan mereka (Al-Qassam) berupaya membina terowong rahsia untuk mematahkan markas pertahanan Zionis di tengah-tengah Israel,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/10

No comments:

Post a Comment