Sunday 10 August 2014

Semua yang memerhati di Mesir adalah pengintip kerajaan



Kanak-kanak menerima bantuan makanan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sebuah sekolah di Rafah, selatan Genting Gaza 19 Julai lalu. - AGENSI
KEHADIRAN kumpulan kami Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza di Kaherah, walaupun jumlahnya tidak ramai telah memberi gambaran kepada kerajaan Mesir tentang hasrat sebenar kumpulan kami itu untuk ke Gaza.
Persediaan yang dilakukan Aman Palestin daripada persiapan dan mendapatkan permit telah dijalankan dalam tempoh yang amat singkat untuk membolehkan kami meneruskan misi bantuan ke Gaza.
Namun, bagi mengelakkan timbul syak wasangka dalam kalangan polis dan tentera Mesir di Kaherah, kami membeli bekalan ubat-ubatan di Mesir dan bukan membawanya dari Malaysia.
"Memang lebih murah dan mudah untuk membawa bekalan perubatan dari Malaysia, tetapi ia akan menyukarkan pergerakan kami di sini menuju ke sempadan (Rafah) dengan membawa kotak-kotak ubat-ubatan dari Malaysia.
"Ini kerana pandangan pihak berkuasa Mesir terhadap isu Gaza kini amat berlainan berbanding dahulu semasa pemerintahaan Presiden Dr. Mohamed Mursi.
"Atas dasar itu kami perlu lebih berhati-hati," kata Pengarah Media Aman Palestin Berhad, Anas Abdul Wahab.
Sehari sebelum bertolak ke Gaza, kumpulan pakar perubatan diketuai Dr. Mohamed Nor Sundari telah 'melawat' beberapa farmasi yang ada di kota Kaherah.
Bekalan ubat-ubatan yang perlu dibeli di sini adalah bekalan kecemasan, yang merupakan bekalan paling terdesak dan perlu digunakan bagi membantu penduduk Palestin yang cedera dalam operasi ketenteraan rejim Zionis Israel di Gaza.
"Banyak juga yang kami perolehi, namun disebabkan ia dibeli secara tergesa-gesa, mereka (farmasi) menaikkan harga, tetapi keadaan itu tidak melemahkan semangat kami.
"Kami terpaksa menjelajah ke lebih 10 buah farmasi bagi mengelakkan timbul syak wasangka dalam kalangan mereka kenapa kami memerlukan ubat yang sebegitu banyak.
"Semuanya bernilai AS$15,000 (RM48,137), tapi jika ia dibeli di Malaysia dengan nilai yang sama, kuantitinya mungkin lebih banyak," kata Dr. Mohamed Nor.
Akhirnya kami berjaya membeli lebih 10 kotak besar ubat-ubatan dan dibawa naik ke dalam bilik hotel, dan keadaan itu mula merimaskan kami kerana ia kelihatan terlalu ketara.
"Apa kata kita susun semula ubat-ubat ini dalam bekas yang lebih kecil, kita letak dalam beg sandang, baru mereka ingat ini beg keperluan harian. Mudah juga untuk bergerak," kata seorang pakar ortopedik, Dr. Zairul Nizam Zairol Fitri.
Cadangan itu diterima sebulat suara dan akhirnya 10 buah beg penuh diisi ubat-ubatan berkenaan.
Bayangkan kami terpaksa melalui semua ini hanya ingin melepasi pemeriksaan ketat pihak berkuasa Mesir yang sentiasa syak wasangka jika ia berkaitan isu Gaza.
Segala kesusahan yang dialami itu tidak melemahkan semangat kami untuk memasuki Gaza bagi menghantar bantuan dan pakar perubatan awal kepada para doktor di beberapa hospital di Gaza yang belum dapat berehat bagi membantu memberi rawatan kepada penduduk Palestin yang cedera, malah sebahagian besar daripada mereka tidak menerima gaji sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan di wilayah Palestin itu pada 8 Julai lalu.
Ramadan mengajar kami erti kesabaran pada tahap paling maksimum ketika berada di Mesir, selain semangat penduduk Gaza sendiri yang tidak putus asa, walaupun dihujani bom setiap hari oleh tentera Israel.
Siri seterusnya akan menceritakan getir kami menuju ke sempadan Rafah yang terletak sekitar 400 kilometer dari Kaherah. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140810/lu_06/Semua-yang-memerhati-di-Mesir-adalah-pengintip-kerajaan#ixzz39w4ygAXU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment