KAHERAH 9 Ogos - Kerajaan Mesir menggerakkan usaha baharu bagi membawa pergerakan Hamas dan Israel ke meja rundingan untuk mencapai perjanjian perdamaian sementara secepat mungkin, selepas rundingan antara kedua-dua pihak bertelagah itu untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkekalan menemui kegagalan, sebaik-baik tempoh gencatan senjata selama tiga hari sebelum itu berakhir.
Rangkaian berita Al Jazeera yang memetik sumber kerajaan melaporkan, rundingan antara Hamas dan Israel menunjukkan tanda positif apabila wakil kedua-dua pihak mahu mengadakan gencatan senjata yang berkekalan.
"Kedua-dua pihak mengakui pintu rundingan belum tertutup memandangkan wakil Palestin masih berada di Kaherah dan perbincangan dijadualkan berlangsung dalam tempoh beberapa jam akan datang.
"Malah ada laporan mendakwa wakil Israel masih berminat untuk meneruskan rundingan itu," jelas sumber tersebut.
Mesir menjadi orang tengah dalam perbincangan tersebut tetapi pertemuan dengan wakil daripada kedua-dua pihak diadakan secara berasingan selepas Israel dan Hamas saling menolak tuntutan masing-masing.
Wakil Palestin, Azzam al-Ahmed berkata, pihaknya bersedia memberi komitmen untuk mencari penyelesaian dan mencapai persetujuan bagi mengembalikan hak rakyat Palestin.
Bagaimanapun, pergerakan Hamas dan kumpulan sayap Islamic Jihad menuduh Israel sengaja melengah-lengahkan proses perjanjian damai, sekali gus menolak usaha melanjutkan tempoh gencatan senjata selama 72 jam yang berakhir semalam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140810/lu_04/Mesir-gerakkan-rundingan-baharu#ixzz39w3SbJww
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment