Sunday 10 August 2014

HSBC cetus kontroversi baharu


LONDON 9 Ogos - Syarikat perbankan terkemuka Britain, HSBC terus mencetuskan kontroversi melakukan diskriminasi apabila didakwa menutup sejumlah akaun bank milik pelarian dan pelajar Syria yang tinggal di Britain.
Portal berita Mail Online melaporkan, HSBC menghantar surat kepada beberapa klien dari Syria memberi notis dua bulan kepada mereka untuk mencari bank baharu atas alasan 'disenarai sebagai pemilik akaun berisiko'.
Tindakan kontroversi itu dilakukan hanya beberapa minggu selepas HSBC memberi amaran untuk menutup akaun pertubuhan Islam yang beribu pejabat di Britain termasuk akaun milik Masjid Finsbury Park di London.
Pelanggan HSBC dari Syria, Mohammad Isreb yang menggunakan perkhidmatan perbankan tersebut sejak 2009, berkata, akaun miliknya telah ditutup, walaupun beliau merupakan pengguna kad visa Tier 1 UK yang dikategorikan untuk pekerja berkemahiran tinggi.
Jelasnya, beliau tidak lagi boleh menerima atau mengirim sebarang wang ke Syria ekoran penutupan akaun dengan HSBC.
"Selepas menerima sepucuk surat daripada HSBC, saya memaklumkan kepada pihak bank bahawa status sebagai rakyat Syria bukan alasan yang kukuh untuk membatalkan akaun, selain saya tidak melanggar sebarang undang-undang.
"Tindakan HSBC itu menambahkan lagi penderitaan pelarian Syria kerana sekatan (antarabangsa) dikuatkuasakan ke atas kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, bukan rakyat," katanya.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar visa, Majid Maghout, 26, berkata, tindakan HSBC menutup akaun bank miliknya sebagai kes diskriminasi.
Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di Manchester, Penyelidikan Tindakan Penyertaan Pencari Suaka Politik dan Pelarian (RAFAR) dan Persatuan Pemikir Pembangunan Semula Rakyat Syria melancarkan kempen ke atas HSBC berhubung kontroversi terbaharu itu.
Mereka mendakwa HSBC berlaku tidak adil apabila menjadikan rakyat Syria sebagai sasaran hanya disebabkan status kewarganegaraan mereka.
"Kami turut membongkar tindakan salah HSBC yang menolak, menutup akaun atau enggan menerima urusan pajak gadai dengan pelanggan yang berasal dari Syria.
"HSBC mengenepikan pelanggan Syria di Britain dan melayan mereka sebagai pelanggan kelas kedua selain menyalahgunakan kuasa sebagai syarikat perbankan," jelas pertubuhan terbabit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140810/lu_03/HSBC-cetus-kontroversi-baharu#ixzz39w336gNA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment