Monday 18 August 2014

Palestin, Israel sedia sambung semula rundingan gencatan senjata

AHAD, 17 OGOS 2014 @ 1:13 PM
Penunjuk perasaan Palestin berhadapan askar Israel dalam demonstrasi bagi menyokong rakyat Gaza dan perunding Palestin di Kaherah kelmarin.
 
BANDARAYA GAZA: Israel dan Palestin bersedia menyambung semula rundingan gencatan senjata hari ini bagi menentukan tindakan seterusnya apabila tempoh yang dipersetujui sebelum ini tamat pada tengah malam esok.

Kerajaan Mesir selaku orang tengah, mengesyorkan kepada kedua-dua pihak supaya menerima gencatan senjata baru lima hari, iaitu lanjutan kepada tiga hari yang dipersetujui sebelum ini bagi memberi lebih banyak masa kepada perbincangan berkenaan.

Semalam tidak berlaku apa-apa serangan lagi berikutan pertempuran selama sebulan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,980 rakyat Palestin dan 67 rakyat Israel.

Perunding Israel dan Palestin dijangka kembali ke Kaherah hari ini bagi mengadakan rundingan baharu, selepas merujuk kepada pemimpin politik mereka hujung minggu ini.

Rundingan itu dijangka menyentuh mengenai gencatan senjata lebih lama selepas tengah malam esok dan beberapa perkara penting seperti permintaan pihak Palestin untuk membuka pelabuhan dan lapangan terbang di Gaza. - AFP

No comments:

Post a Comment