Monday, 18 August 2014

Rundingan tak penuhi aspirasi warga Gaza


KAHERAH 17 Ogos - Pergerakan Hamas menyifatkan tawaran yang dibuat oleh delegasi Palestin dalam rundingan damai dengan Israel di Kaherah, Mesir tidak memenuhi aspirasi penduduk Palestin di Gaza.
Ketua hal ehwal luar Hamas, Osama Hamdan semalam berkata, sehubungan itu beliau meragui peluang untuk mencapai penyelesaian damai dengan Israel dalam rundingan tersebut.
Osama berkata, Israel perlu menerima syarat-syarat Palestin (jika mahu berdamai) atau menghadapi perang yang berpanjangan.
Kedua-dua pihak yang bertelagah, dijangka menyambung semula rundingan damai tersebut di Kaherah, hari ini dengan Mesir bertindak sebagai orang tengah.
Pertemuan tersebut, bagaimanapun menyaksikan kedua-dua pihak tidak bertemu secara bersemuka, sebaliknya menggunakan wakil Mesir sebagai pengantara.
Gencatan senjata selama lima hari dijangka berakhir esok dan rundingan damai yang berlangsung selama beberapa minggu, masih gagal mencapai sebarang penyelesaian.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 2,000 orang penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam terbunuh dalam perang di Gaza dan lebih 10,000 orang lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu.
Seorang anggota delegasi Palestin, hari ini berkata, jurang perbezaan antara kedua-dua pihak masih besar dan tiada penyelesaian akan dapat dicapai sebelum tempoh gencatan senjata itu berakhir.
"Kami kurang bersifat optimistik ketika ini berbanding permulaan rundingan,'' ujarnya.
Beliau berkata, perkara utama yang masih belum dapat diselesaikan adalah Israel perlu memberi jaminan sekatan ke atas Gaza dibatalkan sebelum rundingan damai itu berakhir.
Di Baitulmaqdis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya tidak akan bersetuju dalam sebarang gencatan senjata jangka panjang jika keperluan berhubung keselamatan Israel tidak dipenuhi. - Reuters/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140818/lu_05/Rundingan-tak-penuhi-aspirasi-warga-Gaza#ixzz3Ah24zv7K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment