TEL AVIV 17 Ogos - Beribu-ribu penduduk Israel yang menyokong rundingan damai antara rejim Zionis itu dengan Palestin bagi menamatkan konflik di Gaza mengadakan tunjuk perasaan secara aman di sini, semalam bagi menyokong perdamaian di Gaza.
Bantahan pro-keamanan itu adalah yang terbesar di Israel sejak rejim Zionis itu melancarkan operasi Protective Edge ke atas Gaza pada 8 Julai lalu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,980 penduduk Palestin dan 67 penduduk Israel terkorban.
Demonstrasi itu dianjurkan parti pembangkang berhaluan kiri, Parti Meretz dan Peace Now, sebuah kumpulan yang menentang pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, yang turut disertai parti komunis, Hadash.
Polis terpaksa dikerahkan berkawal di Dataran Yitzhak Rabin, di sini malam tadi bagi mengelak timbul kekecohan dengan penyokong parti berhaluan kanan, selepas lokasi sama menjadi medan bagi 10,000 penduduk Israel yang menyokong operasi ketenteraan bagi mendesak kerajaan dan tentera menamatkan serangan Hamas dari Gaza.
Delegasi rundingan Palestin dan Israel, semalam meneruskan rundingan secara tidak langsung dengan pengantara, Mesir dalam usaha mencapai gencatan senjata tetap sebelum gencatan senjata selama lima hari tamat tengah malam Isnin.
Penunjuk perasaan mengecam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan menuduhnya enggan berunding dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
"Apa yang dilakukan kerajaan Netanyahu adalah hanya melemahkan Abbas dan menguatkan Hamas,'' kata anggota Parlimen Parti Meretz, Nitzan Horowitz merujuk kepada operasi rejim Zionis itu dalam usaha menghentikan pelancaran roket Hamas dari Gaza.
Ketua Parti Meretz, Zehava Galon menggesa Netanyahu supaya meletak jawatan dengan menyifatkan Perdana Menteri Israel itu telah gagal atas faktor keselamatan dan keamanan.
Penulis Israel, David Grossman dalam perkembangan berasingan berkata, Israel perlu 'berdamai dengan Pihak Berkuasa Palestin dan berunding dengan kerajaan perpaduan Palestin'.
Beliau merujuk kepada kerajaan Palestin yang dibentuk awal Jun lalu ekoran perjanjian damai antara pergerakan Hamas dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai Abbas.
Netanyahu dilaporkan enggan terlibat dalam sebarang rundingan dengan kerajaan perpaduan Palestin itu dengan menuduhnya mempunyai kaitan dengan Hamas yang digelar Israel sebagai pertubuhan pengganas. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140818/lu_04/Penduduk-Israel-anjur-bantahan#ixzz3Ah1oJisD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment