Tuesday, 26 August 2014

Iran mahu bekal senjata kepada Palestin


Tehran: Iran akan mempercepatkan proses membekalkan senjata kepada rakyat Palestin sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel mengintip negara itu dengan mengguna dron.

Perkara itu dinyatakan komander tentera Iran, Jeneral Amir Ali Hajizadeh dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi tentera negara itu.


“Kami akan mempercepatkan pemberian senjata kepada rakyat Palestin dan kami berhak bertindak balas,” katanya.

Iran yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel mengesahkan mereka membekalkan teknologi untuk membuat roket yang digunakan Hamas bagi menyerang Israel.


Amaran berkenaan dikeluarkan selepas tentera Iran menembak jatuh sebuah dron milik Israel di tapak pemprosesan uranium Natanz di tengah negara itu.


Israel sebelum ini sering mengancam menyerang loji nuklear Iran itu.

Menurut Amir, dron pengintip yang ditembak jatuh itu adalah jenis ‘Hermes’ yang mampu mengelak radar dan mampu terbang sejauh 800 kilometer.

“Cebisan dron berkenaan kini dianalisis untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

No comments:

Post a Comment