Saturday, 30 August 2014

Enggan letak senjata


Doha: Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal semalam menolak sebarang usaha untuk melucutkan senjata pejuang Palestin di Gaza seperti yang dituntut Israel, dengan menyifatkan senjata kumpulan itu sebagai ‘suci.’

“Senjata pejuang kami suci dan kami tidak akan menerima pelucutan senjata itu di dalam agenda rundingan akan datang dengan Israel,” kata Khaled pada sidang akhbar di Doha.


Israel berulang kali mengaitkan pembangunan semula Semenanjung Gaza yang musnah dalam peperangan 50 harinya dengan Hamas dengan pelucutan senjata di wilayah itu.



Bagaimanapun, Khaled berkata, Hamas tidak akan meletakkan senjatanya.


“Isu itu tidak akan dibincang. Tidak ada orang yang akan dibenar melucut senjata Hamas dan pejuang Palestin lain,” katanya.


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Hamas tidak memperoleh apa-apa dalam tuntutannya ketika gencatan senjata ‘berkekalan’ dikuatkuasakan pada 12 tengah malam Selasa lalu.

Menurut persetujuan itu, Israel akan mengendurkan sekatan terhadap kemasukan barangan, bantuan kemanusiaan dan bahan binaan ke Gaza selain meluaskan kawasan pantai kepada nelayan Palestin.


Bagaimanapun isu rumit seperti tuntutan pembinaan pelabuhan, lapangan terbang dan pembebasan tahanan serta desakan Israel untuk melucutkan senjata pejuang Palestin akan dibincangkan apabila perunding kedua-dua pihak kembali ke Kaherah bulan depan.

“Senjata kami memberi jaminan bahawa tuntutan kami tidak akan terlepas pandang,” kata Khaled dalam satu kenyataan, semalam.


Beliau bagaimanapun bersetuju tidak semua tuntutan Hamas akan dipenuhi pihaknya.


Pemimpin Hamas berkenaan turut mendesak Mesir membuka pintu sempadan Rafah dengan Gaza secepat mungkin.


Keganasan Israel selama tujuh minggu yang berakhir Selasa lalu meragut sekurang-kurangnya sebanyak 2,140 nyawa rakyat Palestin, sebahagian besarnya orang awam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

No comments:

Post a Comment