Saturday 30 August 2014

Bantuan kemanusiaan antarabangsa tiba di Gaza


ANGGOTA keselamatan Palestin berdiri berhampiran lori yang membawa bantuan perubatan selepas memasuki Gaza menerusi pintu masuk Kerem Shalom di Rafah di selatan Genting Gaza, kelmarin. - REUTERS
GAZA CITY 29 Ogos - Bantuan kemanusiaan antarabangsa mula melimpah masuk ke Gaza semalam, bagi membolehkan lebih sejuta penduduk membina semula kehidupan mereka selepas konflik antara Hamas dan Israel yang berlarutan sehingga 50 hari, menyebabkan kemusnahan teruk di wilayah Palestin itu.
Kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza dilihat menikmati gencatan senjata yang masuk hari kedua itu selepas berkuatkuasa Selasa lalu dengan beratus-ratus lori yang membawa biskut, manisan, minuman ringan dan lampin pakai buang termasuk bekalan bantuan kemanusiaan dibawa masuk melalui sempadan Kerem Shalom.
Bagaimanapun menurut AFP, bahan-bahan pembinaan masih belum disalurkan ke Gaza untuk digunakan bagi memulihkan semula kebanyakan rumah penduduk sama ada musnah atau rosak teruk akibat serangan udara, kereta kebal dan meriam tentera Israel sejak konflik bermula 8 Julai lalu.
"Perkara yang ditunggu-tunggu penduduk di Genting Gaza adalah bahan-bahan binaan namun tidak dapat dibawa masuk," kata seorang pemandu lori Palestin, Talib Abu Jaray.
Pengasas kumpulan hak asasi Israel, Gisha, Sari Bashi berkata, tahap pemeriksaan keselamatan yang ketat oleh rejim Zionis perlu diubah untuk mempercepatkan kemasukan bahan-bahan binaan ke Gaza kerana proses itu boleh menyebabkan usaha pembinaan semula penempatan Palestin hampir mustahil dilaksanakan.
"Sejak Disember 2013, Israel membenarkan kemasukan bahan binaan untuk pertubuhan antarabangsa, tetapi bantuan berkenaan perlu melalui proses yang rumit, sukar dan mengambil masa lama untuk selesai.
"Sekiranya Israel meneruskan prosedur terbabit, Gaza hanya boleh dibangunkan semula selepas tempoh 100 tahun lagi," katanya.
Konvoi bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) mula memasuki Gaza dari Mesir kelmarin, bantuan pertama sejak 2007 dengan membawa bahan makanan untuk 150,000 orang yang mampu bertahan selama lima hari.
Konvoi itu turut disertai trak yang membawa kelengkapan perubatan dan ubat dari Arab Saudi, selain 45 tan kelengkapan perubatan dari Oman dan Turki. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140830/lu_05/Bantuan-kemanusiaan-antarabangsa-tiba-di-Gaza#ixzz3BommG55B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment