Tuesday, 22 July 2014

Wira hospital Shifa


Shifa hospital terbesar di Gaza hanya mempunyai wad kecemasan dengan 11 katil serta enam bilik pembedahan. 
Doktor juga sering kekurangan peralatan paling asas termasuk pembalut kasa dan adrenalin. 

Namun doktor di hospital yang mampu memuatkan 600 katil itu nyata berbakat membuat pelbagai improvisasi untuk mengatasi setiap kekangan termasuk bekalan elektrik yang sentiasa terputus.
Foto
SEBUAH keluarga tiba di Hospital Shifa.

Kebijaksanaan menyesuaikan diri dengan keadaan itu diceritakan doktor dari Norway, Mads Gilbert, 67, satu-satunya warga asing di situ yang sudah 17 tahun melakukan kerja sukarelawan.

“Jika bekalan elektrik terputus ketika kami sedang melakukan pembedahan, apa tindakan orang Palestin? Mudah saja menggunakan cahaya telefon bimbit untuk menyuluh tempat pembedahan dilakukan,” katanya. 

Gilbert membantu di hospital itu beberapa kali setahun. Kali ini dia membawa lampu kepala untuk digunakan pakar bedah, namun perkakasan itu sebenarnya antara barangan yang diharamkan Israel.

“Saya bukannya sehebat mana. Sebenarnya orang Palestin semuanya wira. Kami mungkin datang dan pergi namun mereka sentiasa berada di sini,” katanya. 

Pegawai kesihatan melaporkan lebih 3,000 warga Palestin cedera dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini saja. 

Kebanyakan kes termasuk yang paling serius sering dibawa ke Shifa. 

Ada mangsa terpaksa diberi rawatan di lorong-lorong berhampiran bilik kecemasan. 

Antara mangsa yang dapat dilihat termasuk seorang anggota penyelamat yang menjerit kesakitan apabila kakinya yang parah dibalut rakannya. Dia bagaimanapun beralih untuk memberi laluan kepada kanak-kanak lelaki yang parah akibat tembakan peluru. 

Di satu sudut lain, seorang wanita meraung manakala seorang lelaki menangis mendukung anaknya yang sudah meninggal dunia. 

Seorang lagi ibu membawa anak perempuan remajanya yang mengalami kecederaan teruk pada tangannya. 

Pesakit beratur di luar bilik imbasan x-ray sambil anggota keluarga mereka bergaduh masing-masing mahukan rakan atau saudara mereka mendapat rawatan dulu. 

Dr Jihad Juwaidi berkata, enam bilik pembedahannya sering penuh dan mangsa yang cedera parah sekali pun terpaksa menunggu giliran termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang retak tengkoraknya. 

Rakannya, Dr Allam Nayef yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) berkata, sukar memilih siapa yang boleh dirawat dulu. 

“Kami tiada pilihan, kadangkala kami terpaksa memilih saja siapa yang dianggap paling berkemungkinan terselamat. 

“Malangnya ada juga masanya kami menganggap seorang mangsa masih mampu bertahan namun akhirnya dia yang pergi dulu ketika kami memberi rawatan kepada orang lain,” katanya. 

Perang terbaru ketika Ramadan ini yang didakwa Israel bertujuan menghentikan tembakan roket Hamas ke arah penduduk Yahudi melihat pekerja di Shifa semakin akrab malah bebanan kerja tidak langsung menghalang mereka menjalani ibadat puasa. 

Malah, kata Allam yang sudah beberapa bulan tidak dibayar gaji krisis terbaru ini membuat mereka semua lebih rapat. 

“Kami tidak memikirkan gaji. Kalau itu saja pendorong kami, pasti kami sudah lama meninggalkannya.

“Kami gigih berkhidmat kerana pesakit di sini rata-rata keluarga, rakan dan jiran kami,” katanya ketika ditemui. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

No comments:

Post a Comment