Tuesday 22 July 2014

Israel guna senjata haram


Baitulmaqdis: Tentera Israel menggunakan senjata berbahaya yang diharamkan di peringkat antarabangsa dalam perang agresif mereka terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, lapor saksi dan pakar.

Jet pejuang Israel melepaskan asap fosforus putih di timur Semenanjung Gaza. Fosforus putih amat mudah terbakar terutama pada kain, bahan bakar atau senjata selain mampu mengakibatkan kelecuran teruk atau maut.


Bahan berkenaan banyak digunakan Israel ketika menyerang Gaza sekitar 2008 dan 2009 yang menyebabkan kecederaan meluas.

Sementara itu, saksi kekejaman Zionis turut mendakwa tentera Israel menggunakan bom paku di kejiranan Shujaya Sabtu lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 100 orang awam dalam keganasan yang paling teruk di Gaza setakat ini.


Doktor melihat mayat dipenuhi paku malah turut terpaksa membuang logam berkenaan daripada kebanyakan mangsa yang cedera. Orang ramai dan wartawan turut menghimpunkan paku yang dikumpul dari lokasi dibom yang dimuat naik ke Facebook.


Pada awal pertempuran, doktor Norway Mads Gilbert memaklumkan sidang media di Hospital Al-Shifa bahawa dia menemui kesan bahan letupan logam pada mayat mangsa Palestin.

“Kebanyakan kecederaan yang saya lihat konsisten dengan penggunaan bahan letupan logam yang kami temui digunakan ketika serangan pada 2009 dan 2006.

“Mayat terbabit hancur teruk akibat tenaga dihasilkan bahan letupan yang ditembak berhampiran atau ke arah mereka,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

No comments:

Post a Comment