Tuesday 22 July 2014

Al-Qassam digeruni Israel


TIGA orang anggota Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas bersiap sedia dengan senjata mereka untuk menghadapi serangan tentera Israel di bandar Deir al-Balah, tengah Gaza. - AFP
GAZA CITY 21 Julai - Kecekapan pejuang Hamas melancarkan taktik perang gerila menggunakan terowong bawah tanah ternyata digeruni tentera Israel yang sukar mengesan pergerakan masuk anggota Briged Izzuddin Al-Qassam ke wilayah dikuasai rejim Zionis.
Al-Qassam, yang merupakan kumpulan sayap Hamas kini menggunakan terowong sebagai senjata utama untuk mengekang serangan bertubi-tubi tentera darat Israel yang mahu menceroboh Gaza, selain turut melancarkan serangan roket ke kawasan wilayah rejim Zionis Israel sejak konflik itu tercetus pada 8 Julai lalu.
Malah laporan laman web Aman Palestin yang memetik kenyataan jurucakap Al-Qassam, Abu Obaida berkata, pihaknya berjaya menculik seorang tentera Israel bernama Shaul Aron dalam pertempuran di Sheijaya, semalam selain membunuh 13 askar Israel dan mencederakan 50 yang lain.
PASUKAN perubatan tentera Israel mengangkat seorang rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan Briged Al-Qassam di Gaza untuk dipindahkan ke sempadan Israel bagi menerima rawatan, semalam. - AFP
Washington Post turut menyifatkan tindakan menculik tentera Israel itu sebagai 'serangan berani' apabila kumpulan pejuang Palestin itu yang memakai pakaian tentera Israel, turut menyelinap dan membunuh dua askar musuh di Gaza.
Kehebatan Al-Qassam itu, sekali gus menunjukkan kemampuan kumpulan pejuang Palestin tersebut memerangi pasukan tentera yang jauh lebih hebat daripada segi peralatan dan teknologi tanpa rasa gerun dan takut.
Portal berita Israel, Al Monitor yang memetik kenyataan tentera Zionis Israel dalam kenyataannya mengakui, terowong digunakan Al-Qassam untuk melancarkan serangan mengejut ke atas musuh sangat rumit dan canggih, selain menjadi laluan membawa masuk askar Israel yang diculik ke Palestin.
Malah jelas kenyataan itu, askar Israel sukar mengesan lokasi terowong berkenaan yang dilengkapi kemudahan elektrik dan bekalan makanan yang mencukupi.
Tentera Israel turut mengakui, anggota pejuang Al-Qassam juga sangat cekap dan mampu menghilangkan diri sekelip mata selepas melancarkan serangan hendap.
Rasa gerun tentera Israel terhadap Al-Qassam menyebabkan mereka melancarkan serangan ke atas kawasan penduduk awam Palestin dengan menuduh kumpulan pejuang itu berselindung di masjid, hospital dan sekolah, menyebabkan angka korban mencecah 508 orang, hari ini dengan kebanyakan yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Genting Gaza, Ashraf al-Qudra memberitahu AFP, semalam sahaja sebanyak 100 orang termasuk 72 penduduk Palestin di Sheijaya yang terletak antara Gaza City dan sempadan Israel terbunuh akibat digempur tentera rejim Zionis.
Jelasnya, sebanyak 80 peratus mangsa yang terkorban di Sheijaya merupakan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, seramai 16 penduduk Palestin dijumpai maut dalam sebuah rumah selepas dibedil tentera udara Israel di Khan Younis, semalam.
Satu lagi kejadian di Gaza menyaksikan sembilan sekeluarga maut, termasuk tujuh kanak-kanak, apabila rumah mereka musnah dalam serangan udara rejim Zionis Isarel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140722/lu_01/Al-Qassam-digeruni-Israel#ixzz388tVhpB5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment