• Palestin

KUCHING - Rakyat Palestin sejak sekian lama sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada negara atau orang lain untuk perjuangkan kedaulatan, maruah atau tanah air mereka, tetapi perlu pertahankannya dengan nyawa sendiri, kata seorang imam muda daripada Gaza.
  
Hamzah Zohdi, 25, berkata beliau baru sahaja menerima panggilan telefon daripada saudaranya di Gaza memaklumkan tentera Israel menggunakan senjata kimia dalam serangan ke atas Gaza, namun dengan pantas berkata: "Adakah anda fikir sesiapa akan peduli?".
  
Pada ceramah khas dianjurkan Jabatan Penerangan Sarawak di sini semalam, Hamzah berkata kurangnya berita tepat daripada Palestin juga merupakan satu daripada masalah dihadapi rakyat Palestin kerana kebanyakan media dikawal Zionis.
  
"Memang betul kami perlukan pertolongan, bantuan kemanusiaan dan banyak sumbangan untuk meneruskan kehidupan, tetapi satu lagi perkara penting yang diperlukan adalah memahami apa sebenarnya berlaku di Palestin, sejarah, penindasan, supaya masyarakat dunia boleh mendesak Israel menghentikan serangan," katanya.
  
Sambil menyatakan agak malang bahawa negara-negara Arab memilih untuk tidak berbuat apa-apa demi rakyat Palestin, beliau juga mengakui bahawa dalam kebanyakan kes, rakyat di negara berkenaan bersatu dalam menyokong Palestin.

Hamzah, lulusan ijazah sarjana Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), berkata beliau berharap dapat menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah di Malaysia tidak lama lagi sebelum beliau dan isterinya pulang ke Gaza untuk bersatu dengan ibu bapanya.
  
Katanya, satu perkara yang perlu dijelaskan adalah perjuangan di Palestin bukan mengenai agama, tetapi mengenai tanah, sikap tamak kerajaan Israel untuk merampas tanah rakyat Palestin, dengan itu menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.
  
"Sebab itu kenapa dunia perlu bersatu mengutuk serangan Israel tanpa mengira agama, kepercayaan atau pegangan politik, kerana ini sebenarnya kes tamakkan tanah, bukan perkara lain," katanya.
  
Hamzah berkata, agenda utama Israel ketika ini adalah untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, dan sejak serangan Israel pada 6 Julai, beliau dimaklumkan lebih 1,600 rumah musnah.
  
Israel mula melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza awal bulan ini dan angka kematian rakyat Palestin telah mencecah lebih 500 orang.- Bernama