Thursday 31 July 2014

ISU MENTERI BESAR SELANGOR: Krisis politik Selangor kian meruncing

ISU MENTERI BESAR SELANGOR: Krisis politik Selangor kian meruncingWhatsApp perbualan Mohd Zuhdi yang mencetuskan kontroversi. 


Kuala Lumpur: Pakatan pembangkang kini bagaikan retak menanti belah apabila isu WhatsApp Pengarah Operasi, Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berhubung senario politik Selangor mencetuskan krisis politik yang meruncing.

Mengusutkan lagi situasi, Mohd Zuhdi yang mencetuskan konflik itu turut mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengundur diri dari dunia politik bagi meredakan ketegangan yang berlaku di Selangor.

Tersentak dengan kenyataan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli tampil mendesak PAS mengambil tindakan terhadap Mohd Zuhdi kerana WhatsAppnya yang bukan saja melanggar perjanjian dalam pakatan pembangkang, malah boleh membawa kepada perpecahan pakatan berkenaan.

PAS terus tersepit dalam konflik WhatsApp itu apabila Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua turut bersama dengan PKR membantah kenyataan Mohd Zuhdi yang dianggapnya sebagai bersifat rasis serta ekstremis.

MB jumpa Nik Aziz

Rentetan isu itu, Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu kelmarin, manakala kepemimpinan PKR mengambil langkah sama, semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, berkata perbezaan akan bertukar kepada krisis jika tidak diurus dengan betul. 

No comments:

Post a Comment