Thursday 31 July 2014

Bom sekolah lagi


Sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin maut dan kira-kira 90 lagi cedera awal pagi semalam apabila Israel sekali lagi mengebom sebuah sekolah yang menjadi pusat perlindungan mangsa perang.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, 43 orang terbunuh dalam serangan udara serta bedilan kereta kebal di Jabaliya.



Katanya, jumlah kematian itu termasuk mangsa yang terbunuh di sekolah kendalian PBB itu.

Dalam tempoh dua malam terakhir di Gaza, wilayah ditadbir pejuang Islam Hamas itu menyaksikan pengeboman intensif daripada rejim Zionis Israel.

Selepas 23 hari serangan kejam Israel disasarkan ke Gaza, jumlah korban di pihak Palestin kini melepasi angka 1,300 orang - kebanyakannya orang awam.

Di pihak Israel hanya 53 tentera dan 3 orang awam maut.

Minggu lalu, sebanyak 15 orang terkorban dan 200 lagi cedera apabila sebuah sekolah di Beit Hanoun serta padang permainan kanak-kanak dibom.


Tentera Israel menafikan mereka bertanggungjawab dalam serangan itu sebaliknya menyalahkan pejuang Palestin.


Kata Israel pejuang Hamas dan pertubuhan lain melancarkan roket dari kawasan sekolah yang dikendalikan agensi bantuan kemanusiaan PBB itu.

Kenyataan rejim Zionis mengakui mereka menyasarkan 75 tapak sejak malam kelmarin menjadikan jumlah lokasi dibom kepada 4,100 tempat.

Tiga terowong bawah tanah juga dimusnahkan dalam tempoh 24 jam.

Antara lokasi disasar tentera Israel ialah lima masjid - didakwa menempatkan laluan masuk ke terowong bawah tanah - tempat simpanan senjata dan pos peninjau.

Dua “kemudahan” digunakan pejuang kanan Hamas turut diranapkan.

Sementara itu Chile dan Peru mengesahkan memanggil pulang duta mereka di Israel sebagai bantahan terhadap kekejaman Zionis.

Kementerian Luar Chile dan Peru berkata, perkembangan di Gaza diikuti dengan penuh rasa bimbang.

“Ketika ini nampaknya populasi awam Gaza dihukum secara pukal,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment