Thursday 31 July 2014

Israel bom kem pelarian PBB


MENARA sebuah masjid tumbang selepas dibedil tentera Israel di Gaza City, semalam. - AFP
GAZA 30 Julai - Serangan udara tentera Israel di seluruh Genting Gaza yang masuk hari ke-24 hari ini, mengakibatkan lagi 44 kematian termasuk 19 mangsa di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan orang awam Palestin.
Seorang pegawai PBB yang enggan dikenali mengesahkan serangan itu yang mengenai sebuah bilik air dan dua kelas di sekolah berkenaan yang terletak di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza.
Selain itu, agensi berita Anadolu melaporkan, tentera Israel turut mengebom lima buah masjid dalam tempoh 24 jam di Gaza dengan alasan memusnahkan senjata dan terowong pejuang Hamas.
Minggu lalu, rejim Zionis membedil empat pusat perlindungan PBB, mengakibatkan lebih 20 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Jurucakap agensi kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, serangan kereta kebal di sebuah rumah di Tuffah, timur laut wilayah itu, mengakibatkan enam sekeluarga terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak.
Jelasnya, kematian terbaharu itu menjadikan angka korban akibat kekejaman Israel meningkat kepada lebih 1,300 orang dan lebih 7,170 lagi cedera.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mula goyah untuk meneruskan operasi ketenteraan di Gaza apabila beliau meminta pertolongan Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan gencatan senjata dengan pergerakan Hamas.
Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, permintaan itu dibuat malam semalam apabila Netanyahu menimbulkan persoalan untuk mengadakan gencatan senjata, sekali gus mengakhiri konflik di Gaza.
"Netanyahu sedia menerima gencatan senjata untuk membolehkan Israel dilindungi daripada serangan Hamas dan beliau sedar operasi ketenteraan di Gaza tidak memberi kelebihan kepadanya," katanya.
Sebanyak 56 kematian dicatatkan di pihak Israel, 53 daripadanya anggota tentera, sejak krisis di wilayah Palestin itu tercetus.
Namun, jumlah itu dipercayai lebih tinggi dan tidak dilaporkan media pro-Israel.
Dalam pada itu, agensi berita, PressTV melaporkan, komander kumpulan sayap bersenjata pergerakan Hamas, Briged al-Qassam, Mohammad Deif menolak gencatan senjata dengan Israel melainkan sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sejak tujuh tahun lalu ditarik balik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_01/Israel-bom-kem-pelarian-PBB#ixzz38zcaOdOb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment