GAZA - PALESTIN. Perunding Israel dan Palestin kelmarin bersetuju melanjutkan gencatan senjata sementara selama 24 jam di Gaza bagi memberi lebih banyak peluang terhadap perbincangan gencatan senjata jangka masa panjang.

Wakil Palestin di Kaherah memaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama sehari lagi, namun Israel dipersalahkan kerana kedegilan mereka hingga menyebabkan rundingan damai masih berlarutan sehingga kini.

Pegawai Hamas Ezzaq al-Rishq dalam laman Twitter berkata, rundingan menghadapi kesukaran kerana kedegilan Israel dan lanjutan gencatan senjata selama 24 jam ini adalah permintaan daripada wakil kedua pihak untuk satu lagi peluang.

Ketua wakil Palestin turut memberi amaran keganasan di Gaza boleh tercetus semula kecuali jika keputusan dapat dicapai sebelum tarikh akhir rundingan berakhir.

Pemimpin Kanan gerakan Fatah, Azzam al-Ahmad berkata, sehingga kini masih tiada kemajuan dicapai menerusi rundingan dalam menyelesaikan konflik di wilayah itu.

"Kami berharap setiap minit yang akan datang dalam tempoh 24 jam itu akan digunakan untuk mencapai persetujuan, dan jika tidak berjaya keganasan akan berterusan,"katanya, laporan dipetik dari AP.