Wednesday 20 August 2014

Israel bunuh isteri, anak perempuan ketua pejuang Hamas


GAZA 20 Ogos - Isteri dan seorang anak perempuan ketua pejuang Hamas, Mohammed Deif dilaporkan terbunuh dalam serangan udara tentera Israel hari ini ketika gencatan senjata untuk antara kedua-dua pihak tidak disambung untuk melanjutkan rundingan di Mesir.
Timbalan ketua Hamas yang hidup dalam buangan, Mussa Abu Marzuk berkata, nasib Deif masih belum diketahui tetapi rejim Zionis dipercayai sengaja mensasarkan pemimpin tertinggi pergerakan Palestin itu dalam serangan terbabit.
Perkhidmatan kecemasan Palestin sebelum itu melaporkan, serangan udara berkenaan dilancarkan di sebuah rumah besar di kawasan penempatan Sheikh Radwan, dipercayai rumah Deif, mengakibatkan dua orang terbunuh, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Jelas laporan tersebut, 45 orang turut cedera dalam serangan itu.
Terdahulu, ketua delegasi rundingan damai Palestin ke Mesir, Azzam al-Ahmed berkata, gencatan senjata antara Hamas dan Israel telah gagal selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan untuk menghentikan pertempuran di Gaza buat sementara bagi memberi laluan kepada perbincangan menamatkan konflik di Asia Barat itu.
``Gencatan senjata telah gagal dan Israel bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.
``Kami akan meninggalkan Mesir hari ini, tetapi masih bersedia untuk meneruskan rundingan dan menunggu maklum balas Israel terhadap usul perjanjian damai yang dikemukakan oleh kami,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140820/dn_30/Israel-bunuh-isteri-anak-perempuan-ketua-pejuang-Hamas#ixzz3Au8eZAfE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment