Wednesday 20 August 2014

200,000 hilang pekerjaan


Gambar bertarikh 11 Ogos lalu, menunjukkan Ziad Rizk (kiri) bersama rakannya, berehat di tengah-tengah tapak runtuhan yang pernah menempatkan rumah dan kedai pakaiannya di Beit Lahiya, utara Genting Gaza. - AGENSI
GAZA 19 Ogos - Lebih 200,000 penduduk Genting Gaza kini menganggur sejak sekatan ke atas wilayah itu dikuatkuasakan lapan tahun lalu dan serangan ke atas Genting Gaza oleh Israel baru-baru ini.
Agensi berita Anadolu melaporkan, Persekutuan Buruh Palestin mendedahkan, sebanyak 30,000 orang kehilangan pekerjaan ekoran serangan Israel baru-baru ini selepas sejumlah kilang, kedai dan syarikat perniagaan musnah.
"Sebanyak 170,000 orang pula tidak bekerja sejak sekatan dikenakan oleh Israel sebelum ini. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 330,000 tenaga kerja Palestin di Gaza," jelas pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Ketua Persatuan Ahli Perniagaan Palestin, Ali al-Hayek berkata, sebanyak 450 buah kilang musnah dan 500 kilang lagi rosak sejak serangan terbaharu Israel bulan lalu.
Setakat ini, lebih 38,086 bangunan awam termasuk rumah, pejabat kerajaan, sekolah, masjid dan tanah perkuburan musnah atau rosak dalam serangan berkenaan.
Lebih 2,000 rakyat Palestin turut terbunuh dan lebih 10,000 orang cedera dalam serangan itu.
Di Kaherah, Palestin dan Israel menyambung semula rundingan damai hari ini selepas bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selama 24 jam.
Lanjutan gencatan senjata itu meningkatkan harapan satu perjanjian damai akan berjaya dicapai, namun perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak bertelagah masih belum dapat diselesaikan.
Anggota delegasi Palestin, Qais Abdel-Kareem berkata, pertemuan itu akan membincangkan isu utama termasuk sekatan ke atas Gaza, tuntutan ke atas Hamas untuk meletakkan senjata dan pembinaan semula pelabuhan dan lapangan terbang di Gaza. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140820/lu_04/200000-hilang-pekerjaan#ixzz3Asdh6CNe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment