Wednesday 20 August 2014

Rundingan damai Hamas-Israel terus buntu


AFP 
SEKUMPULAN penduduk di Gaza meninggalkan penempatan mereka di Beit Hanun menuju ke sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan perlindungan ketika gencatan senjata antara Hamas dan Israel hampir tamat semalam.


KAHERAH - Ketua delegasi Palestin yang menyertai rundingan damai dengan Israel di Mesir semalam memberi amaran bahawa pertempuran di Gaza mungkin tercetus semula melainkan ada kemajuan dicapai dalam rundingan antara kedua-dua belah pihak.
Ketua delegasi tersebut, Azzam al-Ahmad memberi amaran tersebut ketika kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selama 24 jam kelmarin selepas gencatan senjata selama lima hari sebelum ini tamat.
Katanya, ketika ini tiada sebarang kemajuan terhadap mana-mana peringkat dalam rundingan yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik di Gaza.
"Kami berharap setiap minit dalam tempoh 24 jam akan datang akan digunakan bagi mencapai satu perjanjian tetapi jika tidak berjaya, keganasan di Gaza mungkin tercetus semula," kata- nya.
Beliau juga menuduh Israel sengaja cuba 'melencong dan menghentikan' ketika rundingan isu utama sehingga membantutkan usaha bagi mencapai perjanjian jangka panjang antara Hamas dan rejim Zionis.
Seorang pegawai Hamas, Moussa Abu Marzouk turut menuduh Israel sengaja melengah-lengahkan masa sambil menegaskan bahawa Hamas tidak akan mengorbankan tuntutan mereka bagi memeterai satu perjanjian jangka panjang.
Antara tuntutan utama Hamas termasuklah membina sebuah pelabuhan dan sebuah lapangan terbang di Gaza.
Bagaimanapun, seorang lagi pegawai Palestin di Gaza berkata, Israel hanya mahu membincangkan tuntutan tersebut dalam peringkat seterusnya selepas perjanjian pertama dicapai.
Israel juga menuntut Hamas meletakkan senjata tetapi pergerakan tersebut menegaskan bahawa tindakan itu bukan satu pilihan.
Konflik di Gaza tercetus selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran di wilayah berkenaan pada 8 Julai lalu dengan alasan mahu menghentikan serangan roket dari Hamas.
Sehingga kini, seramai 2,000 penduduk di Gaza dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan manakala 67 warga Israel terkorban. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Ask1WSIw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment