KUALA LUMPUR 9 Julai - Kemelut di Palestin bukan sahaja menyaksikan wilayah bergolak itu dibedil dengan kejam oleh tentera Israel tetapi penduduk Islam di Gaza juga terpaksa berdepan beberapa ancaman lain termasuk daripada pihak mereka sendiri.
Dalam komunikasi langsung dengan Utusan Malaysia menerusi laman sosial Facebook, wartawan agensi berita Ma'an beribu pejabat di Palestin, Abdul Hakim Salah melaporkan, selain bimbang terkena serangan udara, penduduk Palestin juga bimbang diserang peneroka haram Yahudi yang sering menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran.
Abdul Hakim berkata, situasi tersebut sangat membimbangkan kerana rumahnya dekat Baitulaham di Tebing Barat tidak jauh dari penempatan haram Yahudi yang hanya beberapa minit berjalan kaki.
Malah katanya, penduduk Palestin dan Israel sering bertembung kerana menggunakan satu-satunya jalan utama di kawasan itu, sekali gus meningkatkan kemungkinan serangan daripada penduduk rejim Zionis itu.
Menurutnya, hampir setiap hari, dia sekeluarga terpaksa menghidu gas pemedih mata dan situasi tersebut sangat berbahaya ketika sedang menjalani ibadah puasa.
Tambahnya, satu lagi ancaman bahaya adalah serangan roket dari Gaza ke Baitulmaqdis oleh kumpulan pejuang Hamas.
"Malah semalam, dua buah roket tersasar di satu kawasan lapang dekat Baitulaham sebelum meletup.
"Saya tidak boleh duduk di rumah untuk tempoh yang lama kerana terdedah kepada bahaya yang tidak diduga.
"Mujurlah saya keluar bekerja setiap hari sebagai wartawan dan anak saya bekerja di tapak pembinaan, manakala isteri saya kini yang bertugas sebagai guru sedang bercuti dan boleh menjaga tiga lagi anak kami serta ibu saya," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140710/lu_05/Peneroka-haram-Yahudi-turut-serang-penduduk-Palestin#ixzz370v8Bhfd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment