Thursday, 10 July 2014

Israel bom 160 lokasi di Gaza


SEORANG lelaki mendukung seorang kanak-kanak yang cedera akibat serangan Israel untuk dihantar ke sebuah hospital di Genting Gaza kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Tentera Udara Israel melancarkan serangan bom ke atas 160 sasaran di Genting Gaza dalam tempoh semalaman selepas meluaskan kempen ketenteraan untuk menghentikan serangan roket dari Palestin, kata seorang pegawai semalam.
"Tentera Israel menyerang sekitar 160 sasaran di Genting Gaza. Sejak dua hari lalu, kami menyerang sebanyak 430 sasaran secara keseluruhan," kata pegawai itu, Jeneral Moti Almoz kepada radio Israel ketika kempen ketenteraan dikenali sebagai Operasi Helang Pelindung memasuki hari kedua semalam.
"Sasaran yang dikenal pasti itu termasuk melibatkan kawasan yang menempatkan 120 pelancar roket, 10 pusat perintah dan kawalan Hamas, sejumlah terowong dan dua buah kediaman," tambahnya.
Menurut jeneral berkenaan, siri serangan itu menyebabkan stok senjata Hamas mengalami kemusnahan," ujar Almoz.
Menurutnya, pergerakan Islam tersebut kini terdesak dan cuba melancarkan serangan mengejut dari pelbagai tempat.
"Semalam, Hamas cuba menyerang dari laut dan membedil roket jarak jauh ke arah beberapa buah bandar utama seperti Baitulmuqaddis dan Tel Aviv selain Hadera yang terletak lebih 100 kilometer dari Gaza," ujar jeneral berkenaan.
"Namun, semua serangan itu dapat dipatahkan oleh tentera Israel," jelasnya.
Dalam pada itu, bedilan roket Hamas berterusan sejak awal semalam.
Pasukan keselamatan Israel dilaporkan menembak jatuh sekurang-kurangnya lima roket dari Gaza dengan menggunakan sistem antipeluru berpandu yang dikenali sebagai Kubah Besi.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam mengaku bertanggungjawab melancarkan bedilan roket tersebut.
Sayap bersenjata Hamas itu menyatakan sekitar empat roket M75 telah dilancarkan ke arah bandar Tel Aviv.
Terdahulu, rejim Zionis memanggil 40,000 askar simpanan Israel sebagai persediaan untuk menggempur Gaza bagi menamatkan serangan roket ke atas Israel.
Seramai 32 penduduk Palestin terbunuh dengan lebih 230 orang lagi cedera.
Sebahagian daripada yang terkorban itu ialah para pejuang Palestin. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0710&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3710W2BiP 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment