KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk serangan udara oleh Pasukan Pertahanan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan menggesa supaya operasi ketenteraan itu dihentikan.

Najib, dalam catatan terbaharunya dalam laman Facebook hari ini, menegaskan bahawa Malaysia kesal terhadap kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa dan menyeru semua pihak bertenang.

"Keamanan hanya boleh wujud melalui penyelesaian dua negara dan semua pihak harus mematuhi prinsip ini," kata beliau.

Menurut perkhidmatan kecemasan di Bandaraya Gaza, seramai 11 wanita dan kanak-kanak ialah antara 17 rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan udara Israel ke atas wilayah Palestin itu pada Rabu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 38 orang dalam masa dua hari.

Selain itu, lebih 300 orang cedera dalam serangan itu. - Bernama