Kuala Terengganu: Penderitaan rakyat Gaza akibat kekejaman rejim Zionis terus mendapat simpati masyarakat negara ini. Terbaru, Tabung Gaza Media Prima menerima RM12,000 disumbangkan Hotel Permai dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
Majlis penyerahan replika cek disempurnakan Pengerusi Hotel Permai Mejar General (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar pada Program Malam Amal Puisi Santai dan Sambutan Ambang Merdeka di hotel berkenaan, malam kelmarin.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman Zulkifli Abu Bakar dan wakil Media Prima yang juga Ketua Biro Berita Harian Terengganu, Rosli Jalil.
Wan Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif Hotel Permai mengadakan program diadakan khusus meringankan beban penduduk Gaza.
“Saya bersyukur, pada malam ini kita berjaya mengumpul RM12,000 iaitu RM2,000 daripada Hotel Permai dan RM10,000 dari MPK dan menyeru masyarakat negara ini terus menghulurkan bantuan dalam apa juga bentuk bagi meringankan penderitaan ditanggung penduduk Gaza,” katanya.
Majlis diserikan dengan deklamasi sajak dan lagu puisi oleh artis dan penyair tempatan itu dihadiri lebih 200 orang.
Sebagai meraikan majlis, Wan Abu Bakar turut mendeklamasi sajak ciptaan sendiri dilhamkan ketika bertugas di Bosnia Herzergovina 20 tahun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01
No comments:
Post a Comment