Monday 1 September 2014

Cabaran kanak-kanak Palestin mulakan sesi persekolahan


SEKOLAH-sekolah di seluruh Gaza yang masih menjadi tempat perlindungan penduduk Palestin, menyukarkan permulaan sesi persekolahan menjelang 14 September ini. - AFP
GAZA CITY 31 Ogos - Kanak-kanak Palestin di Genting Gaza berdepan cabaran sukar untuk memulakan sesi persekolahan baharu pada 14 September ini selepas kebanyakan infrastruktur untuk proses pembelajaran musnah teruk sepanjang tempoh 50 hari peperangan antara Hamas dan Israel.
Portal berita Middle East Monitor dalam laporannya berkata, situasi dijangka bertambah sukar apabila lebih 50,000 penduduk masih berlindung di sekolah-sekolah milik Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) dan lebih 250,000 lagi ditempatkan di kira-kira 85 buah sekolah di seluruh Gaza.
Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran di Gaza, Ziad Thabet berkata, sebanyak 277 buah sekolah musnah akibat bedilan tentera Israel dan situasi berkenaan menyebabkan pelbagai masalah timbul untuk memulakan persekolahan.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian telah mencapai satu perjanjian dengan UNRWA untuk memulakan sesi persekolahan dalam tempoh dua minggu.
"Bagi mengurangkan tekanan ke atas pelajar dan memudahkan proses pembelajaran, aktiviti kokurikulum pada tahun ini akan dikurangkan.
"Selain itu, bengkel khas untuk guru turut disediakan bagi menangani masalah psikologi pelajar yang terjejas teruk akibat keganasan Israel baru-baru ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pelajaran Israel dijangka menanggung kos pengurangan perbelanjaan paling tinggi dalam belanjawan tahun ini selepas kerajaan rejim Zionis menetapkan pemotongan sebanyak dua peratus perbelanjaan ke atas semua kementerian kecuali Kementerian Pertahanan bagi menanggung kos operasi ketenteraan di Gaza.
Menurut laporan akhbar Israel, Hareetz, Kementerian Pelajar terpaksa mengurangkan perbelanjaan sebanyak AS$195 juta (RM616 juta) yang diperuntukkan untuk keperluan sekolah rendah dan sekolah menengah.
Tambah laporan itu, jika pemotongan tersebut dikuatkuasakan, kementerian terbabit dijangka mengurangkan peruntukan untuk beberapa program khas bagi meningkatkan tahap pendidikan, latihan perguruan dan pembinaan kelas baharu yang telah dirancang sebelum ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140901/lu_04/Cabaran-kanak-kanak-Palestin-mulakan-sesi-persekolahan#ixzz3C0Q2XsFW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment