Baitulmaqdis: Israel melalui pasukan tenteranya mengumumkan rancangan untuk merampas 400 hektar lagi tanah Palestin di Baitullaham, selatan Tebing Barat semalam.
“Atas arahan golongan politik, 400 hektar penempatan di Gevaot diisytiharkan sebagai milik Israel,” katanya.
Tentera Israel berkata, penduduk Palestin yang ada hubungan dengan tanah itu diberi masa 45 hari untuk menyurakan sebarang bantahan.
Menurut mereka, langkah berkenaan diambil selepas pembunuhan tiga remaja Yahudi yang diculik Jun lalu di kawasan yang sama dan dikenali sebagai penempatan Gush Etzion dikalangan penduduk Israel.
Tiga rakyat Palestin dari Hebron dituduh bertanggungjawab atas pembunuhan berkenaan.
Majlis Penempatan Yahudi di Etzion mengalu-alukan pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai langkah awal untuk meluaskan penempatan berkenaan.
“Ia akan mengukuhkan penempatan kami,” kata majlis berkenaan dalam satu kenyataan.
Akhbar Israel Haberkata, pembinaan di kawasan itu sudah dirancang sejak 2000 dan tahun lalu, rejim Israel mempelawa bidaan untuk membina 1,000 rumah di situ.
Sementara itu, ketua perunding Palestin mengecam rancangan berkenaan dan menggesa diadakan tindakan diplomatik terhadap Israel.
“Rejim Israel melakukan pelbagai jenayah terhadap penduduk Palestin dan tanah mereka.
“Masyarakat antarabangsa sepatutnya bertindak secepat mungkin ke atas Israel kerana jenayah dan pencerobohan yang dilakukannya ke atas penduduk Palestin di Gaza dan aktiviti penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01
No comments:
Post a Comment