LONDON - Ahli Parlimen Bradford West yang popular sebagai anti-Israel, George Galloway diserang lelaki tidak dikenali selepas beliau menyelar tindakan kejam Israel.

Beliau dilaporkan mengalami patah rahang dan tulang rusuk serta lebam di mata.

Jurucakap polis berkata kepada Press TV, seorang lelaki menyamar sebagai jurukamera tiba-tiba menerpa dan menumbuk ahli Parlimen itu.

"Kami percayai serangan terbabit mempunyai kaitan dengan komen Galloway terhadap kekejaman Israel ketika mesyuarat parti berhaluan kiri di Leeds baru-baru ini. Kami dapat menahan suspek sejurus kejadian itu," katanya.

Beberapa minggu sebelum kejadian, Galloway disoal siasat polis selepas mengisytiharkan bandar Bradford sebagai sebahagian daripada zon bebas Israel.

Beliau menggesa penduduk di bandar berkenaan memboikot semua barangan Israel dan apa jua perkara yang berkaitan dengan rejim Zionis itu.

“Kita tidak mahu apa jua barang Israel. Kita tidak mahu perkhidmatan atau mana-mana ahli akademik Israel datang ke universiti atau kolej di sini,“ katanya.