• Abdul Azeez (lima, kiri) bersama Duta Malaysia ke Palestin dan Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari (empat, kiri) dan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al-Agha (tiga, kiri) melawat salah seorang mangsa kekejaman Israel, Anas Yazdji, 22, di Hospital Palestin dekat Kaherah. - Foto BernamaAbdul Azeez (lima, kiri) bersama Duta Malaysia ke Palestin dan Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari (empat, kiri) dan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al-Agha (tiga, kiri) melawat salah seorang mangsa kekejaman Israel, Anas Yazdji, 22, di Hospital Palestin dekat Kaherah. - Foto Bernama

KAHERAH - MESIR. Seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Bulan Sabit Merah Palestin, di sini, dirancang dibawa ke Malaysia bagi mendapat rawatan dan penjagaan lebih rapi.
Penasihat Medikal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Dr Mohamed Kassim Abdul Rahim berkata pihaknya sedang mendapatkan kebenaran Institut Pediatrik Kuala Lumpur buat masa ini.
Kanak-kanak berkenaan, Badr Nabil Mahrouse, 4, cedera parah di beberapa bahagian di tubuhnya selepas terkena tembakan bertalu-talu di kawasan rumahnya di Bandar Gaza, katanya.
"Dia dibawa masuk pada 27 Julai di hospital ini, pembedahan kecemasan sebelum ini telah dibuat di Gaza.
"Antara lain, buah pinggang kiri dia terpaksa dibuang, dan paru-paru dipenuhi angin dan air akibat kecedaraan dan terpaksa diletakkan tiub untuk keluarkan semua (air) itu.
"Usus dia juga pecah dan najis keluar daripada usus," katanya kepada Bernama, Rabu.
Dr Mohamed Kassim berkata pihaknya turut merancang untuk membawa beberapa lagi kanak-kanak Palestin yang kini kritikal selepas menjadi mangsa serangan Israel di Palestin sejak 8 Julai lalu, ke Malaysia.
Beliau bersama misi bantuan kemanusiaan KP1M ke Gaza diketuai presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim melawat hospital berkenaan, pada Rabu.
Dalam lawatan berkenaan, Abdul Azeez turut menyerahkan alat bantuan sokongan hayat 'Portable Vantilator' sumbangan Institut Jantung Negara, kepada hospital berkenaan bernilai RM35,000 khusus bagi membantu pesakit seperti Badr.
  
Dr Kassim yang tiba bersama kumpulan pertama misi bantuan pada 7 Ogos lepas berkata, antara keperluan lain yang diperlukan hospital berkenaan termasuk inkubator dan katil khas untuk pesakit.
Hospital berkenaan dibiayai oleh persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan menjadi salah satu hospital di Mesir untuk rawatan kritikal penduduk Palestin yang parah akibat serangan Israel sejak 8 Julai lalu.
Lebih 2,000 rakyat Palestin terbunuh sepanjang serangan Israel itu sehingga kini.
Rabu malam, agensi berita antarabangsa melaporkan, pihak Israel dan Palestin setuju melanjutkan tempoh gencatan senjata selama lima hari selepas tempoh gencatan senjata selama 72 jam sebelum ini, berakhir pada malam yang sama. - Bernama