Thursday, 14 August 2014

Israel musnah 63 masjid


Juga dikenali sebagai Masjid Jamik, ia adalah antara 63 masjid yang dimusnahkan rejim Zionis sejak ia melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Julai lalu. 
Alasannya, kata pegawai Israel, Hamas menggunakan tempat ibadah itu untuk menyimpan senjata serta pelancar roket dan menggali terowong untuk menceroboh Israel dan melancarkan serangan. 

Hamas yang menguasai pentadbiran Gaza menafikan tuduhan itu, sebaliknya menuduh Israel melancarkan serangan terhadap Islam.
Foto
PENDUDUK Palestin melakukan solat Jumaat di bawah runtuhan menara Masjid Soussi di Gaza City.
Foto
PENDUDUK memeriksa keadaan Masjid al-Qassam selepas serangan udara.

Dalam kalangan penduduk awam Gaza, ramai yang menyokong kenyataan Hamas dan menuduh rejim Zionis sengaja mahu meruntuhkan iman mereka.

Dalam serangan sebelum ini, Israel keberatan menyasarkan serangan ke atas institusi agama kerana bimbang terhadap tindak balas diplomatik. 

Sepanjang seminggu serangan udara ke atas Gaza pada 2012, tidak satupun masjid menjadi sasaran. 

Dalam keganasan selama tiga minggu pada 2008-2009, rejim itu mengebom 17 masjid dan meruntuhkan 20 menara tempat ibadah itu dengan mendakwa Hamas menggunakannya sebagai antena tentera. 

Penduduk Gaza menyangkal tuduhan Israel kononnya Hamas menggunakan masjid sebagai tempat persembunyian pejuang atau untuk menyimpan kelengkapan senjata. 

“Tidak ada langsung. Saya tidak melihat sebarang anggota Hamas di sini,” menjadi jawapan kebanyakan penduduk Gaza apabila ditanya mengenai kehadiran pejuang kumpulan berkenaan. 

Kebanyakan masjid yang menjadi sasaran, selain menjadi tempat beribadah, turut dijadikan pusat kegiatan sosial, pendidikan dan kesihatan untuk penduduk sekitar. 

Ada juga yang menganjurkan acara sukan seperti bola sepak dan pingpong. 
Tetapi Israel mendakwa Hamas menggunakan bangunan itu untuk menyimpan senjata, pelancar roket selain dijadikan pos meninjau dan tempat latihan ketenteraan. 

“Dengan memusnahkan masjid, Israel berharap dapat menggugat iman kami yang menjadi asas kepada jihad,” kata seorang guru sekolah rendah, Yahya Abu Siyam, ketika ditemui selepas menunaikan solat di celah runtuhan Masjid Farouq di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. 

Serangan ke atas masjid itu pada 22 Julai lalu turut memusnahkan beberapa rumah. 
Di Masjid al-Qassam di Nuseirat, Pengarah Badan Zakat, Abu Bilal Darwish turut menyuarakan pendapat sama. 

“Keganasan Israel ialah terhadap Islam. Rejim itu tahu bahawa masjid menanam sifat jihad dan syahid dalam kalangan kami,” katanya. 

Sebuah masjid yang dibina pada abad ketujuh, Masjid al-Omary, turut menjadi sasaran. Masjid berkenaan terletak di sebuah lagi masjid yang lebih besar dan moden di Jebaliya. Kedua-duanya musnah. 

Sementara itu, Masjid Hamza Ibn Abdul-Mutaleb di tengah Gaza, yang mengambil masa dua tahun untuk dibina dengan kos lebih AS$1juta (RM3.2 juta) dan baru beberapa minggu siap, juga dimusnahkan tentera Israel. 

“Bagi kami, masjid itu ibarat bayi yang baru lahir dan sudah sekian lama kami nantikan. 

“Dengan kepungan ke atas Gaza, kami berusaha untuk mencari bahan bagi membinanya. Pendermanya pula mengupah pengawal untuk menghalang sesiapa mencuri bahan itu untuk tujuan lain. Tetapi Israel memusnahkannya dalam sekelip mata,” kata Kamal Salim, anggota jawatankuasa pembinaannya.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

No comments:

Post a Comment