Sunday, 13 July 2014

Tentera Israel kepung Gaza


2014/07/13

Tentera Israel kepung Gaza
Sanak saudara memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Noor Alnajedy, 10, yang terbunuh dalam serangan udara Israel terhadap bangunan berhampiran kediamannya, di Semenanjung Gaza, kelmarin. - Foto AP

Bandaraya Gaza: Ketika angka kematian terus meningkat dan mencecah 127 orang semalam, Israel pula akan melakukan serangan melalui darat dan keputusan mengenainya akan dibuat hari ini.

Malah, tentera Yahudi itu sudah menempatkan kereta kebal serta perisai di sepanjang sempadan, manakala sekurang-kurangnya 33,000 daripada 40,000 tentera simpanan mereka diluluskan oleh Kabinet untuk digerakkan.

Masuk hari kelima semalam, sekurang-kurangnya 16 lagi kawasan penduduk Palestin menjadi sasaran dalam serangan ganas Israel, pada ketika Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu bertegas untuk tidak tunduk dengan tekanan antarabangsa bagi menghentikan pengeboman.

Menteri Luar, Avigdor Lieberman kelmarin berkata beliau menjangkakan satu keputusan politik dibuat hari ini untuk melancarkan kemungkinan serangan darat. “Pada masa ini kita menjalankan fasa pertama... serangan udara,” katanya kepada televisyen Channel One.

Wartawan AFP melihat banyak kenderaan perisai digerakkan ke selatan pagi semalam dan anggota tentera pula tiba di kawasan sempadan.

Banyak lagi akan diserang

Jurucakap tentera Jeneral Moti Almoz berkata beliau menjangkakan serangan udara akan berterusan untuk beberapa hari kerana ‘terdapat banyak lagi sasaran untuk diserang’.
“Pada masa sama kita bersiap sedia untuk operasi seterusnya, mempersiapkan tentera untuk melakukan serangan darat,” katanya kepada radio awam.

Sementara itu dalam satu sidang media lewat kelmarin di Tel Aviv, Netanyahu berkata beliau tidak akan menamatkan kempen ketenteraannya sehingga mencapai matlamatnya bagi menghentikan bedilan Hamas.

Teruskan serangan

“Tiada tekanan antarabangsa yang akan menghalang kami daripada terus menyerang dengan semua kekuasaan yang ada terhadap apa yang dilakukan Hamas,” katanya.

Serangan terbaharu semalam membunuh tiga penduduk di timur kejiranan Tufah di Bandaraya Gaza, kata jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra. AFP 

No comments:

Post a Comment