KUALA LUMPUR - Takut kepada sekatan ekonomi dari Israel menjadi punca kepada kelesuan negara Islam di dunia untuk membantu Palestin yang diserang rejim Zionis.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Liga Arab serta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak bersedia mengambil sebarang tindakan yang berkesan membantu rakyat dan menghentikan keganasan Israel.

“Israel seperti sedia maklum sememangnya sebuah negara yang berpengaruh dalam ekonomi di mana dunia hari ini dilihat banyak bergantung kepada kepesatan ekonomi Israel. Disebabkan hal ini banyak negara yang terpaksa berdiam diri daripada membantu kerana takut menerima nasib sama.

“Angka kematian semakin meningkat dan perkara berkenaan menunjukkan tanda-tanda kemusnahan yang bakal berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya ketika sidang media Pelan bertindak NGO-NGO  Malaysia Isu Gaza, hari ini.

Beliau berkata, Gaza kini mengalami kekurangan ubat-ubatan serta alatan perubatan kerana kehilangan khampir 30 peratus bekalan berkenaan.

“Bekalan ubat-ubatan kini hanya tinggal 15 peratus dan dijangka akan habis dalam masa beberapa hari sepanjang serangan Israel.

“Walaupun rayuan dibuat kepada kerajaan konsensus Palestin yang ditubuhkan bulan lepas, namun tiada sebarang tindakan diambil setakat ini untuk menyelamatkan sisitem penjagaan kesihatan di Gaza,” katanya.

Menurutnya, Israel menjadi kebal daripada sebarang undang-undang antarabangsa atau Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencerobohan dan kekejaman terhadap Gaza.

“Serangan ini bukan 'perang' dengan Hamas sebagaimana yang didakwa oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Nantanyahu.

“Tujuan sebenar Israel hanya mahu menghapuskan sebarang ancaman kepada kewujudan negaraYahudi termasuklah menggunakan pendekatan membunuh rakyat Palestin,” katanya.