Sunday 13 July 2014

Israel mula bom masjid



SEBUAH masjid hanya tinggal menara apabila bangunannya musnah selepas dibedil jet pejuang tentera Israel di Nuseirat, bandar Gaza, Palestin, semalam. - REUTERS
GAZA CITY 12 Julai - Kekejaman tentera Israel dalam serangannya ke atas Gaza, bukan sahaja membunuh nyawa tidak berdosa dalam kalangan kanakkanak dan wanita, malah rejim Yahudi itu turut membedil masjid serta kem pelarian sebagai sasaran mereka.
Menurut jurucakap Hamas di Doha, Qatar, Israel buat kali pertama dalam serangannya membedil dua buah masjid semalam, mengakibatkan rumah ibadat itu ranap.
"Tindakan Israel membedil dua buah masjid dalam tempoh semalaman, memperlihatkan betapa bencinya rejim itu terhadap Islam.
"Saya berharap insiden ini akan membuka mata penduduk Islam seluruh dunia untuk menyokong Palestin," katanya.
Tentera Israel turut menyiarkan pemandangan udara masjid itu dibom, dengan alasan rumah ibadat itu dijadikan lokasi persembunyian senjata oleh kumpulan pejuang.
Dakwa rejim tersebut, kumpulan pejuang seperti sayap tentera Hamas dan Jihad Islam sengaja menggunakan masjid untuk menyembunyikan senjata sekali gus membahayakan nyawa orang awam.
"Anggota pejuang Hamas sengaja meletakkan nyawa penduduk awam dalam bahaya. Mereka terus menggunakan orang awam sebagai perisai," dakwa jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner.
Lebih memburukkan keadaan, serangan Israel turut mengenai kawasan kem pelarian Nusseirat, menyebabkan sejumlah rakyat Palestin terbunuh dan cedera selain botbot nelayan musnah.
Rejim Zionis itu dilihat cuba melumpuhkan punca pendapatan penduduk Palestin dengan menyasarkan sasaran roket ke arah kawasan penduduk awam. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140713/lu_11/Israel-mula-bom-masjid#ixzz37IfJa5Hb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment