GAZA CITY 18 Julai - Israel mula melancarkan serangan darat besar-besaran ke atas Gaza, malam tadi dengan mengerahkan kekuatan 30,000 tentera daratnya untuk menggempur serta memusnahkan keupayaan persenjataan pergerakan Hamas termasuk pelancar roket dan terowong yang digunakan oleh pejuang Palestin itu untuk menyelinap masuk ke wilayah Israel.
Serangan darat itu yang merupakan serangan darat pertama dalam tempoh lima tahun, dilancarkan pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia), dengan bantuan serangan laut dan udara secara besar-besaran ke atas Gaza.
Tentera Israel yang dilengkapi senjata moden termasuk jet pejuang, kapal perang, kereta kebal, jentolak DC9, kenderaan perisai, meriam dan unit kejuruteraan melancarkan serangan selama dua jam di bahagian sempadan Palestin dan kawasan pesisir pantai Gaza, sebelum berjaya memasuki kawasan yang dikuasai pergerakan Hamas pada pukul 10 malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).
Dilaporkan 18,000 lagi anggota tentera simpanan Israel kini sudah bersiap sedia untuk dikerahkan ke Gaza pada bila-bila masa.
Jurucakap tentera Israel, Bridged Jeneral, Motti Almoz berkata, sebelum melancarkan serangan pihaknya sudah memberi amaran kepada penduduk Gaza supaya berpindah dari kawasan sasaran dengan memberi amaran operasi ketenteran kali ini disertai kumpulan tentera yang besar.
Pada peringkat awal serangan darat dilancarkan, lapan penduduk Palestin dilaporkan terkorban termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga bulan di selatan Gaza.
Pada setiap minit sepanjang sempadan (Gaza-Israel) kereta kebal Israel melepaskan bedilan. Serangan turut dilakukan dari laut di mana pos kawalan polis Hamas dijadikan sasaran," kata seorang pegawai Israel yang enggan mendedahkan namanya.
Setakat ini, angka korban penduduk Palestin ekoran serangan Israel ke atas Gaza yang masuk hari ke-11 hari ini, meningkat kepada 260 orang selepas mencatatkan 19 lagi korban hari ini, dengan kes kematian terbaharu berlaku di Khan Yunis, selatan Gaza, di mana dua penduduk lelaki Palestin terkorban.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Palestin, lebih 80 peratus mereka yang terkorban setakat ini adalah penduduk awam.
Selain itu 1,920 orang lagi warga Palestin mengalami kecederaan.
Sejak Israel memulakan serangan udara pada 8 Julai lalu, sekurang-kurangnya 1,150 buah roket telah dilancarkan ke wilayah Gaza, manakala tentera Palestin melancarkan serangan roket sebanyak 311 buah ke wilayah Israel.
Jurucakap pergerakan Hamas, Fawzi Barhum dalam satu kenyataan berkata, Israel perlu membayar harga yang mahal atas tindakan mereka melancarkan serangan darat ke atas Genting Gaza.
Serangan darat Israel merupakan satu langkah yang berbahaya, satu tindakan yang bakal memberi kesan yang sangat serius," ujarnya, sambil menambah kata, Hamas sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. - AFP/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140719/lu_04/Serangan-darat-besar-besaran#ixzz37rXw6Tdl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment