KETIKA tumpuan dunia beralih terhadap insiden pesawat MAS, MH17 ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengambil kesempatan melancarkan serangan darat ke atas Genting Gaza.

Operasi Perlindungan Sempadan yang masuk hari ke-11 itu dilancarkan beberapa jam selepas gencatan senjata selama lima jam berakhir.

Saksi memaklumkan kebanyakan kawasan terutamanya di utara wilayah Gaza dibedil secara besar-besaran dari udara, laut dan darat sejurus operasi ketenteraan itu diperluaskan.

Tentera rejim Zionis terus memperhebat serangan mereka, namun tindakan tersebut seakan dipandang sepi masyarakat dunia kerana konflik antara Ukraine dan Rusia telah 'mencuri' perhatian global pada masa ini.

Mahu musnahkan rangkaian terowong rahsia

Dalam satu kenyataan, Netanyahu dengan angkuh memberitahu mereka melancarkan serangan darat tersebut selepas menerima arahan supaya memusnahkan rangkaian terowong rahsia yang menghubungkan Genting Gaza dengan Israel.

"Tindakan ini telah diluluskan Kabinet Keselamatan Israel dan ia juga adalah sebagai respons terhadap serangan roket Hamas," katanya.

Difahamkan, Israel turut mengerahkan 18,000 lagi askar simpanan untuk menyertai operasi terbabit, sekali gus menjadikan jumlah tentera mereka kini mencecah 65,000 orang.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel berkata, serangan darat tersebut dilancarkan kononnya selepas konflik terbabit gagal dihentikan.

"Selain itu, matlamat utama kami adalah untuk memusnahkan infrastruktur dan markas milik Hamas di kawasan utara, timur dan selatan Genting Gaza," katanya.

Kebodohan Israel terserlah

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dengan lantang menyifatkan operasi terbaharu Israel itu jelas menyerlahkan kebodohan Israel.

"Penduduk Palestin tidak gentar dengan serangan bertalu-talu itu. Sebarang tindakan bodoh Netanyahu hanya akan memberi akibat yang lebih buruk," tegasnya.

Sementara itu, bekas penasihat undang-undang berhubung rundingan damai Israel-Palestin, Diana Buttu berpendapat sudah tiba masanya Pihak Berkuasa Palestin (PA) memfailkan dakwaan ke atas Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Insiden keganasan seperti ini bukan pertama kali berlaku. Rejim Zionis sepatutnya didakwa atas kesalahan melakukan jenayah perang," katanya.

Menurutnya lagi, Israel tidak boleh dibiarkan bertindak mengikut sesuka hati mereka dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sehingga kini, tiada pihak tampil untuk menghukum Israel berikutan kecaman yang dilemparkan banyak pihak ke atas mereka hanya bersifat retorik.