Saturday, 19 July 2014

Rancang luas keganasan


Pegawai kesihatan Palestin berkata, 27 penduduk terbunuh, termasuk seorang bayi, dua kanak-kanak dan seorang wanita berusia 70 tahun sejak rejim Zionis mengerahkan pasukan daratnya menyerang wilayah yang padat penduduk itu. 
Tentera Israel mendakwa membunuh 17 lelaki bersenjata sementara 13 lagi menyerah diri selepas serangan tentera darat dan kereta kebal bermula di wilayah yang dikuasai Hamas itu. 

Seorang askar Israel juga terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam operasi yang menyasarkan 150 kawasan dikuasai Hamas.
Foto
PASUKAN perubatan mengejarkan dua rakyat Palestin yang cedera ke unit kecemasan Hospital Shifa awal semalam.
Foto
WANITA Palestin, Netream Netzleam menatap jenazah anaknya, Razel, 1, yang terbunuh semalam akibat kecederaan yang dialami berikutan serangan udara Israel di Rafah kelmarin.
Foto
RAKYAT Palestin dan wartawan media antarabangsa berkumpul di luar sebuah hotel berikutan serangan udara rejim Zionis, kelmarin.

Serangan darat itu menyusuli pengeboman 10 hari terhadap Gaza dari udara dan laut, tembakan ratusan roket oleh Hamas ke Israel dan kegagalan gencatan senjata yang diusahakan Mesir.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu taklimat kepada wartawan sebelum mesyuarat Kabinet berkata, tentera rejim mungkin meluaskan serangan mereka. 

“Arahan saya kepada tentera Israel ialah bersiap sedia melancarkan serangan lebih besar,” katanya. 

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai rancangan berkenaan. 

Israel juga mengerahkan 18,000 lagi anggota simpanannya untuk membantu operasi berkenaan, sebagai tambahan kepada 30,000 anggota simpanan yang sudah pun digerakkan. 

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata: “Netanyahu membunuh anak kami dan dia akan membayarnya dengan harga yang tinggi. 

“Serangan darat tidak menggentarkan kami. Mereka akan dimusnahkan.” 

Hamas sebelum ini menolak gencatan senjata Mesir kerana tidak percaya Israel akan menunaikan janji untuk menarik balik kepungan yang dikenakan ke atas Gaza. 

Kumpulan pejuang Palestin itu juga berkata, anggotanya melancarkan serangan ke atas kereta kebal Israel dengan mortar. 

“Malam yang bingit. Pejuang Hamas bertempur dengan kereta kebal yang mara dari arah utara,” kata Amer Yamen, 37, penduduk di Beit Hanoun yang bersempadan dengan Israel. 

Setakat ini, kira-kira 260 penduduk Palestin, hampir semuanya orang awam terbunuh sejak Israel melancarkan keganasan pada 8 Julai lalu, yang turut menyaksikan rejim itu memusnahkan ratusan rumah dan bangunan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

No comments:

Post a Comment