.
RAMALLAH - “Presiden Barack Obama sebenarnya lebih teruk dari bekas Presiden George W Bush,”.
Kenyataan lantang itu diluahkan seorang penduduk Palestin di Tebing Barat yang enggan identitinya didedahkan dan dia jelas kecewa dengan kepimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS).
“Mungkin reputasi beliau tidak seburuk disangka, namun bagi kami (penduduk Palestin) beliau tetap dianggap sebagai pemimpin yang gagal,” katanya lagi.
Menjelang lawatan beliau ke Timur Tengah, bulan lalu kebanyakan media hanya memaparkan hubungan dingin antara Obama dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berbanding konflik antara Israel-Palestin.
Bayan Khallili, 16, berkata, ibunya menangis gembira selepas Obama dilantik sebagai presiden kulit hitam pertama di AS pada 20 Januari 2009.
“Pada masa itu, kami merasakan bakal ada sinar baru untuk Palestin. Tetapi selepas empat tahun, masih tiada perubahan.
AS terus menunjukkan sokongan terhadap sekutu kuat mereka itu.” jelasnya.
Mesej kepada Obama
Kebanyakan rakan Bayan di Friends School, sebuah institusi pendidikan di Tebing Barat juga lantang bersuara sepertinya.
Ketika dalam kelas subjek Sejarah, topik ‘Mesej apa yang kamu ingin sampaikan kepada Presiden Obama?’ dikatakan mendapat sambutan hangat pelajar.
Salem Rabah, 16, juga memberi pendapat sama terhadap Obama yang didakwa hanya berpeluk tubuh melihat kesengsaraan penduduk Palestin.
“Beliau melihat pembunuhan beramai-ramai terutamanya di Gaza tetapi masih tiada tindakan diambil sebaliknya, presiden dunia bebas tersebut hanya membiarkan kami terus menderita di sini,” keluhnya.
Mereka masih ingat dengan ucapan Obama yang dikatakan seperti memberi harapan baru kepada penduduk rantau Arab.
“Penindasan ke atas penduduk Palestin sememangnya tidak boleh diterima. AS tidak akan membelakangkan cita-cita mereka yang mahu mewujudkan sebuah negara, sekali gus diiktiraf negara antarabangsa,” menurut petikan ucapan Obama semasa beliau berucap di Kaherah pada Jun 2009.
Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji.
Isu tuntutan Palestin didakwa semakin diketepikan selepas kebangkitan revolusi rakyat di Timur Tengah.
Menurut seorang lagi pelajar, Dina Toubasi, 17, dia mengharapkan satu perubahan lebih baik bukan kerana Obama adalah presiden kulit hitam pertama AS yang sebelum ini terkenal sebagai negara yang mengamalkan dasar Aparteid (membezakan rakyat menerusi perbezaan kaum dan warna kulit).
“Kami percaya beliau akan faham dengan perjuangan penduduk Palestin yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk menuntut hak asasi dan hak awam akibat penindasan rejim Zionis katanya pada laporan BBC.
Tetapi, apa yang kami lihat, bantuan AS kepada Israel semakin meningkat sejak beliau menerajui kepimpinan di negara itu,” katanya.
Dina mendakwa Obama sebenarnya telah melanggar etika dan idea yang menjadi pencetus kepada penubuhan AS.
“Beliau sepatutnya menjadikan pemerintahan bekas Presiden George Washington dan Benjamin Franklin sebagai contoh dalam kepimpinannya,” jelasnya lagi.
Kumpulan pelajar di Friends School itu tidak meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas bahu Obama.
Mereka juga berpendapat kegagalan dua tunjang utama, Hamas dan Fatah bersatu menyebabkan AS menjadikannya sebagai alasan kuat untuk mengetepikan tuntutan penduduk Palestin.
Terpengaruh janji palsu
Randa Wahbe, seorang pelajar kelahiran AS yang menetap di Palestin memberitahu dia mengundi Obama pada 2008.
“Saya merasa sangat menyesal dengan tindakan itu dan ia mungkin kerana saya masih mentah dan terpengaruh dengan janji-janji palsu beliau semasa kempen pilihan raya,” katanya sambil tersipu malu.
Menurutnya, projek penempatan haram Yahudi juga meningkat secara drastik sejak beberapa tahun lalu.
Rintihan tahanan Palestin yang terpaksa meringkuk di dalam penjara Israel tanpa perbicaraan adil juga hanya dipandang sepi oleh beliau.
Kebanyakan penduduk di negara tersebut juga sudah berputus asa dengan cadangan penyelesaian dua negara.
“Idea itu sememangnya tidak masuk akal untuk diguna pakai pada masa ini kerana jumlah pendatang haram di kawasan yang dituntut Palestin bagi membentuk sebuah negara semakin bertambah dari hari ke hari.
Kami juga kecewa dengan tindakan AS yang enggan menyokong tuntutan Presiden Mahmoud Abbas untuk menaik taraf status
Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu,” menurutnya dengan panjang lebar.
Golongan remaja di Ramallah turut melihat kunjungan Obama ke negara itu tidak akan membawa sebarang perubahan jika beliau sendiri tidak bertemu dengan penduduk Palestin dan melihat kesengsaraan mereka.
Persoalannya kini, mengapa pemimpin itu boleh menghabiskan masa selama dua hari di Israel tetapi hanya beberapa jam di Tebing Barat?
“Ia jelas menunjukkan permainan politik AS yang dipertontonkan kepada dunia walaupun media melaporkan Obama dan Netanyahu bertelagah akibat perbezaan pendapat,” kata Randa sebelum mengakhiri perbualan.