Pemuda Gaza dicukur rambut
Dua remaja lelaki yang masih terkejut dengan tindakan mencukur rambut mereka.
BANDAR GAZA - Dua remaja tempatan berimej rambut panjang dan terpacak ala Barat dibawa ke balai polis di ibu negara oleh sepasukan pegawai sebelum rambut mereka dicukur didakwa sebagai usaha pengajaran, kelmarin.

Lapor aktivis Hak Asasi Kemanusiaan Palestin, tindakan pegawai polis tempatan terhadap anak-anak muda adalah salah satu usaha kerajaan Hamas menolak kemasukan budaya Barat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa tempatan terhadap golongan muda mendapat kritikan kerana dianggap sebagai mengongkong kebebasan bersosial.

Pelukis tempatan, Ayman al-Sayed, 19, berkata, beliau hanya menyimpan rambut sehingga pada paras bahu tetapi polis Gaza bertindak sedemikian tanpa persetujuannya.

"Satu perkara yang saya ingin lakukan sekarang adalah meninggalkan negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Gaza, Ziad al-Zaza berkata, operasi mencukur rambut pemuda berimej rambut panjang amat jarang sekali berlaku sebaliknya kerana kehendak pegawai polis itu sendiri.

"Ia berlaku tanpa pengetahuan pihak atasan dan saya berjanji operasi seumpama ini tidak berulang lagi kerana ia boleh dianggap sebagai pencabulan hak awam," katanya menurut laporan AFP.