Rejim Israel semakin biadab
Ribuan penduduk Palestin menghadiri pengebumian Amer Nasser serta Naji Balbisi di Anbata, Tebing Barat, kelmarin.
Rejim Israel semakin biadab
Ribuan penduduk Palestin menghadiri pengebumian Abu Hamdiyeh di Hebron. Gambar kecil: Abbas.
RAMALLAH - Presiden Palestin, kelmarin menegaskan Israel semakin biadab dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketegangan di Tebing Barat.

Mahmoud Abbas berkata, rejim Zionis seperti sengaja mencetuskan huru-hara di wilayah Palestin dengan tindakan membunuh dua penunjuk perasaan di Tulkram, Rabu lalu.

"Israel mahu menggugat keselamatan di Palestin dengan cara menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan walaupun protes itu dilakukan secara aman. Ia sememangnya tidak boleh diterima," jelasnya yang dipetik dari laporan AP.

Abbas memaklumkan beliau menangguhkan secara sementara tindakan sebelah pihak yang akan diambil ke atas Israel bagi memberi peluang kepada rundingan damai antara kedua-dua negara tersebut.

Palestin memberikan tempoh selama dua bulan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry untuk memastikan usaha itu berjaya kerana beliau dijangka mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Difahamkan, sepanjang masa itu, kepimpinan Palestin tidak akan membuat tuntutan baru kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mendakwa Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Mereka turut memberi amaran, jika Israel gagal untuk menghentikan projek penempatan haram Yahudi, Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya.

"Projek pembangunan E1 jelas melangkaui garis sempadan yang dilihat sebagai punca utama kegagalan penyelesaian politik dua negara ini," jelasnya.
 
Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes besar-besaran selepas menghadiri pengebumian dua remaja yang ditembak mati selepas mereka melempar bom  petrol ke arah tentera rejim Zionis.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan keadaan kembali reda menjelang malam.

Sehari sebelum itu, kira-kira 4,500 tahan Palestin juga nekad mogok lapar selama tiga hari dalam protes terbaru susulan daripada insiden kematian Maysara Abu Hamdiyeh, 64, yang meninggal dunia akibat barah tekak.

Sejak Selasa lalu, penduduk Palestin mengadakan demonstrasi mengutuk tindakan sambil lewa Israel kerana tidak memberikan rawatan sepatutnya kepada Abu Hamdiyeh walaupun mereka sedar keadaan kesihatannya semakin buruk.