Rangkaian berita Al Jazeera melaporkan, usul yang dikemukakan oleh parti pembangkang, Parti Sosialis itu mendesak supaya kerajaan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara selaras dengan tindakan sama yang dibuat oleh Kesatuan Eropah (EU).
Usul tersebut diterima sebulat suara oleh 319 orang anggota Parlimen, dengan hanya dua yang menentang dan seorang lagi berkecuali.
Langkah meluluskan usul berkenaan dibuat hanya beberapa jam selepas insiden serangan di Baitulmaqdis semalam, apabila dua penduduk Palestin yang bersenjatakan pistol dan pisau pemotong daging bertindak menyerang sebuah bangunan dan membunuh empat orang penduduk Yahudi sebelum dia ditembak mati pasukan polis Israel.
Usul menggesa kerajaan Sepanyol “mengiktiraf Palestin sebagai negara, tertakluk kepada undang-undang antarabangsa”.
“Hanya satu penyelesaian kepada konflik itu iaitu dengan mewujudkan dua buah negara, Israel dan Palestin menerusi rundingan.
“Komitmen ini tidak terlalu terikat, tiada jangka waktu yang tetap untuk mengiktiraf dan memberikan kerajaan tempoh untuk melaksanakan pengiktirafan apabila ia merasakan sesuai,” kata Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Garcia-Margallo, semalam.
Garcia-Margallo berkata, jika mahu pengiktirafan itu lebih berjaya, ia mesti dilakukan dengan kerjasama EU.
Usul itu dibuat berikutan langkah-langkah sama beberapa negara Eropah yang mahu meningkatkan tekanan bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Bulan lalu, Britain dan Ireland meluluskan usul tidak terikat yang menggesa kerajaan mengiktiraf Palestin.
Anggota Parlimen Perancis, pula akan mengundi pada 28 November ini dalam satu usul yang akan dikemukakan oleh Parti Sosialis bagi menggesa kerajaan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Kerajaan Sweeden pada 30 Oktober lalu, secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, tindakan yang menerima kritikan daripada Israel dan Amerika Syarikat.