Thursday 20 November 2014

Rafah kini jadi bandar berhantu


Tentera Mesir meletupkan kawasan penempatan yang dirobohkan ketika operasi 'pembersihan' di Rafah berhampiran sempadan selatan Genting Gaza pada 29 Oktober lalu.
Tentera Mesir meletupkan kawasan penempatan yang dirobohkan ketika operasi 'pembersihan' di Rafah berhampiran sempadan selatan Genting Gaza pada 29 Oktober lalu. 
Ribuan keluarga hilang tempat tinggal selepas mereka diarah berpindah oleh pihak berkuasa Mesir.
Ribuan keluarga hilang tempat tinggal selepas mereka diarah berpindah oleh pihak berkuasa Mesir.
Penutupan sempadan Rafah sejak akhir bulan lalu telah menyebabkan ramai penduduk terkandas di Gaza.
Penutupan sempadan Rafah sejak akhir bulan lalu telah menyebabkan ramai penduduk terkandas di Gaza.
Tentera Mesir memeriksa terowong rahsia yang digunakan sebagai laluan untuk menyeludup barang keperluan ke wilayah Gaza.
Tentera Mesir memeriksa terowong rahsia yang digunakan sebagai laluan untuk menyeludup barang keperluan ke wilayah Gaza.
20 November 2014
BUNYI letupan yang berlarutan sejak dua minggu lalu telah mengganggu konsentrasi penuntut universiti, Ahmed al-Afifi yang sedang mengulang kaji kerana bakal menghadapi peperiksaan pertengahan semester.

Ahmed, 22, yang tinggal berhampiran sempadan Rafah terpaksa berhadapan dengan bunyi bising selepas pihak berkuasa Mesir memulakan projek untuk mewujudkan zon penampan berukuran 500 meter lebar di kawasan tersebut.

Namun, bunyi letupan itu tidak sedahsyat bedilan rejim Zionis ketika Operasi Perlindungan Sempadan dilancarkan pada 8 Julai lalu.

Kelmarin, Kaherah mengumumkan rancangan mereka untuk menggandakan kelebaran zon tersebut kepada 1 kilometer.

Pengumuman itu sememangnya bukan satu khabar gembira buat penduduk Palestin yang mendiami kawasan terbabit kerana ia telah mengganggu ketenteraman mereka.

Tentera Mesir melakukan 'pembersihan' di kawasan itu dengan menggunakan dinamit dan jentolak yang dilihat sebagai sebahagian daripada kempen sistematik untuk memusnahkan terowong rahsia di sempadan Genting Gaza.

Operasi besar-besaran itu dibuat susulan  insiden serangan yang telah meragut 33 nyawa tentera Mesir di Sinai Utara pada bulan lalu dan ia sememangnya bakal memberi kesan besar kepada ribuan penduduk sekitar kawasan terbabit.

Kepungan 'tidak adil'   

Ketua Operasi Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), Robert Turner mendakwa zon penampan tersebut hanya akan menyebabkan situasi menjadi lebih sukar dan beliau turut menyifatkan ia sebagai kepungan 'tidak adil'.

"Penduduk Gaza akan berasa lebih tertekan dan ia hanya menambah episod duka dalam hidup mereka," katanya.

Catatan sejarah menunjukkan Rafah telah berpecah kepada dua kawasan (Palestin dan Kaherah) selepas Perjanjian Damai Mesir-Israel pada 1979.

Bagaimanapun, sekatan haram yang dikenakan Israel sejak 2007 menyebabkan terowong rahsia digali di kawasan itu bagi membolehkan pelbagai barang keperluan termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan binaan dan bahan api dibawa masuk ke Gaza.

Operasi memusnahkan laluan rahsia itu telah dilakukan sejak bekas presiden, Mohammed Mursi digulingkan pada Julai 2013, namun kewujudan zon penampan terbabit didakwa akan menghalang usaha pembinaan terowong bawah tanah tersebut secara sepenuhnya pada masa hadapan.

Krisis ekonomi makin buruk

Harga barangan didakwa meningkat dan bekalan juga semakin berkurangan.

Peniaga dan penjual di bandar Rafah mendakwa tindakan Mesir mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan telah melumpuhkan lagi krisis ekonomi di wilayah itu.

"Pelanggan tidak lagi membeli produk kami," rungut peniaga, Salah al-Manyarawi.

Sementara itu, Talya, 29, yang berkunjung ke Genting Gaza untuk melawat keluarganya kini terkandas susulan daripada penutupan laluan di sempadan Rafah dan ribuan lagi penduduk Palestin turut mengalami nasib sama sepertinya.

Menurutnya, kebanyakan rumah rakannya telah dirobohkan dalam operasi tersebut dan situasi menjadi semakin tegang di kawasan tersebut.

"Saya banyak kenangan manis di Sinai dan melihat keadaan penduduk di sini sememangnya menyayat hati.

"Rafah kini menjadi bandar berhantu!' katanya dalam nada kecewa.

Sementara itu, pensyarah pengajian politik di Universiti Ummah di Gaza, Profesor Adnan Abu Amer memaklumkan penutupan sempadan Rafah dan tindakan pihak berkuasa memusnahkan terowong rahsia itu hanya menambah lagi kesengsaraan penduduk Gaza.

"Terowong tersebut dibina untuk membantu penduduk wilayah ini yang hidup menderita akibat sekatan haram Israel sejak tujuh tahun lalu.

"Kami tidak akan melakukan penyeludupan jika pihak berkuasa menyediakan kaedah alternatif bagi membenarkan kemasukan pelbagai barangan dan bekalan makanan secara terus ke Genting Gaza," jelasnya penuh makna menurut laporan Al-Jazeera.

No comments:

Post a Comment