GAZA - PALESTIN. Israel masih melarang kemasukan bahan pembinaan ke Gaza walaupun perjanjian gencatan senjata antara Israel dan pimpinan Hamas dikuatkuasakan.

Pengarah Perbadanan Sempadan Palestin Nazmi Muhana memberitahu sehingga kini pihak Palestin tidak dimaklumkan atau menerima sebarang maklumat berkaitan operasi dua lintasan utama di sempadan Israel dan Genting Gaza.

“Hingga kini, cuma 250 hingga 300 trak membawa bekalan makanan, sayur-sayuran, pakaian dan bahan api dibenarkan masuk,” katanya.

Menurutnya, bilangan kemasukan trak itu tidak tidak bertambah sejak gencatan senjata dilaksanakan lapor Agensi.

“Sejak beberapa hari lalu, kami berusaha mendapatkan kebenaran membawa masuk bahan mentah binaan dan perindustrian di Genting Gaza bagi memulakan proses pembinaan semula,” kata Muhannya.

Difahamkan, lebih daripada 82 bangunan kerajaan dan ribuan rumah musnah dalam serangan 50 hari itu.

Sementara itu, sekolah milik Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) di Gaza menghadapi kesukaran apabila lebih 50,000 penduduk masih berada di beberapa sekolah itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Gaza Ziad Thabet berkata, satu perjanjian dicapai dengan UNRWA untuk membuka semula sekolah berkenaan dalam tempoh dua minggu sebelum sesi persekolahan 15 September ini bermula.

"Bagi mengurangkan ketegangan di kalangan pelajar pembelajaran akan di tukar menjadi mudah dan kurikulum juga akan dikurangkan," katanya.

Menurutnya, satu bengkel khas untuk guru-guru disediakan bagi berhadapan dengan pelajar yang menghadapi tekanan psikologi.

Statistik rasmi menunjukkan, bahawa 277 sekolah dilaporkan rosak teruk akibat bedilan Israel.