Tuesday, 2 September 2014

Derita belum berakhir


Masih dalam kejutan selepas serangan Israel menghancurkan tangan dan membunuh empat ahli keluarganya, Ahmed Ayyad kini adalah seorang daripada penduduk Gaza yang memerlukan rawatan jangka panjang.

Namun, banyak agensi yang terbabit dengan pemulihan penduduk Gaza sepertinya kini menghadapi kesukaran menangani mangsa kezaliman rejim Zionis.



Anggaran dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan lebih 10,000 rakyat Palestin cedera dengan hampir 1,000 daripadanya berkemungkinan mengalami kecacatan kekal.

Ahmed, 23, ketika ditemui di satu-satunya pusat prostetik di Gaza menceritakan bagaimana serpihan bom mencederakan dada dan tangan kirinya yang kini dipotong sehingga paras siku.

“Pengeboman bermula ketika solat Subuh di kawasan jauh, namun kami dapat mendengar bunyi letupan semakin hampir dan kami dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing,” katanya.

Kekejaman rejim Zionis itu bermula 8 Julai lalu, berselindung di sebalik alasan memusnahkan terowong yang dibina kumpulan pejuang untuk melancarkan serangan.

Kawasan kejiranan Shejaiya, tempat Ahmed cedera pada 20 Julai lalu, menjadi sasaran pengeboman bertali arus.

Keluarga dan puluhan lagi jirannya berada 50 meter dari kediaman mereka ketika pengeboman dilakukan.

Serangan itu juga mengorbankan ahli keluarganya.

“Saya pengsan sejurus serangan berlaku.

“Kesan letupan mengenai tangan, kaki dan dada saya.

Anggota badan mangsa lain berselerakan, mayat bergelimpangan dan ada mangsa yang cedera parah,” katanya.

Ahmed dibawa ke Nablus, Tebing Barat dan tangannya terpaksa dipotong.

Tidak seperti mangsa lain yang mendapatkan rawatan di hospital Jordan, Mesir dan Turki, Ahmed pulang ke tempat asalnya selepas 14 hari bagi memulakan rawatan di Pusat Anggota Palsu dan Polio Gaza (ALPC).

Pengarah ALPC, Hazem Shawwa berkata, pusat berkenaan tidak pernah terputus bekalan prostetik yang dibekalkan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa namun keadaan kewangan buruk dihadapi kerajaan Gaza mungkin menjejaskan kemampuan mereka untuk terus bekerja.

“Ini bulan ketiga kakitangan pusat ini bekerja tanpa gaji.


Kami di ALPC berjanji terus memberikan khidmat walaupun tanpa gaji selama kami mampu,” katanya.

Wilayah Gaza berada dalam krisis kewangan yang sangat buruk sejak Israel mengadakan sekatan menyeluruh pada 2006.

Sejak gencatan senjata terbaru bermula Selasa lalu, badan kebajikan mula menawarkan bantuan kepada penduduk yang mengalami kecederaan serius.

Di Shejaiya, sekumpulan jururawat dibantu beberapa kakitangan badan amal Handicap International yang bertugas di Gaza sejak 2007 melawat seorang mangsa yang dikenali sebagai Nahaya al-Angar, 28.

Nahaya cedera apabila kediamannya dibom 20 Julai lalu menyebabkan dia bersama tiga lagi anaknya terperangkap di bawah runtuhan.

Anaknya melecur teruk dalam serangan itu manakala runtuhan yang menimpa mereka menyebabkan tulang pinggul Nahaya retak.

Sejak itu dia tidak boleh berjalan tanpa bantuan.

“Pada waktu itu, saya menjangkakan yang kami akan mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

No comments:

Post a Comment