Tuesday 2 September 2014

Israel sasar Tebing Barat pula


ISRAEL dijangka memperluaskan Gevaot, kawasan perumahan di Etzion, Tebing Barat selepas mengumumkan pencerobohan terbesar di wilayah itu, kelmarin. - REUTERS
RAMALLAH 1 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendesak Israel menarik balik hasrat merampas kira-kira 400 hektar tanah penduduk Palestin di Tebing Barat, pencerobohan terbesar di wilayah itu dalam tempoh 30 tahun.
"Tindakan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan. Jika diteruskan, situasi tersebut boleh memarakkan keadaan di Gaza selepas perang baru-baru ini," kata jurucakap Presiden, Abu Rdainah.
Seorang pegawai Palestin yang enggan dikenali berkata, pencerobohan tanah itu akan membawa lebih banyak perselisihan di antara Palestin-Israel selepas perang ke atas Gaza mengorbankan lebih 2,000 orang dan mengakibatkan lebih 10,000 cedera.
Israel semalam mengumumkan rampasan tanah terbesar di kawasan penempatan Etzion berhampiran Baitulaham di Tebing Barat hanya beberapa hari selepas gencatan senjata jangka panjang dicapai dengan Hamas di Mesir.
Pembinaan sebuah kawasan perumahan utama dikenali sebagai 'Gevaot' telah dibangkitkan oleh Israel sejak tahun 2000 dan pada tahun lalu, satu tender membina 1,000 unit kediaman di lokasi tersebut telah dibuka rejim Yahudi.
Bagaimanapun, pengumuman Israel semalam dikutuk banyak pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) yang menggesa rejim Zionis menarik semula hasrat tersebut yang boleh mengancam perjanjian damai.
"Sama seperti pengumuman meneruskan pembinaan kediaman haram sebelum ini, AS dengan tegas mengutuk tindakan Israel dan mahu keputusan itu ditarik balik," kata pegawai di Washington.
Britain pula kesal dengan tindakan baharu Israel itu yang disifatkan boleh merosakkan reputasi rejim tersebut di mata dunia.
"Keputusan ini sangat tidak bijak terutamanya ketika keutamaan perlu diberi kepada gencatan senjata di Gaza," jelas Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond dalam satu kenyataan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140902/lu_05/Israel-sasar-Tebing-Barat-pula#ixzz3C6L2Hxyb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment