Tuesday, 2 September 2014

Hamas bukan ISIS, ISIS bukan Hamas


Pemuda Al-Qassam versi Malaysia - Ini merupakan salah satu usaha mengangkat imej Al-Qassam di Majlis Pelancaran Bulan Kemarahan Ummah anjuran Aman Palestin dan 11 pertubuhan lain di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu. Gambar oleh Muhammad Al-Amin Mohd Asri.
Pemuda Al-Qassam versi Malaysia – Ini merupakan salah satu usaha mengangkat imej Al-Qassam di Majlis Pelancaran Bulan Kemarahan Ummah anjuran Aman Palestin dan 11 pertubuhan lain di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu. Gambar oleh Muhammad Al-Amin Mohd Asri.
Ketika peperangan Al-Asful Ma’kul (Dedaun Hancur) sedang berlangsung, salah satu kempen perang psikologi yang dilancarkan oleh rejim pengganas Zionis yang diketuai sendiri oleh Netanyahu adalah meletakkan HAMAS sebaris dengan ISIS.
Kempen ini antara lain memfokuskan persamaan antara ‘kekejaman’ HAMAS dan ISIS yang menghukum pembelot dan lebih utama, keduanya mempunyai ideologi jihad bersenjata yang berbahaya.
Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengukuhkan lagi justifikasi bahawa HAMAS dan sayap ketenteraannya yang gagah perkasa iaitu Briged Izzuddin Al-Qassam adalah pengganas yang wajar diperangi dengan apa jua cara sekalipun.
Media-media pro rejim pengganas Zionis seperti biasa mengalunkan pembohongan ini dalam pelbagai laporan dan analisis, tujuannya hanya satu, iaitu untuk mewajarkan serangan rejim pengganas terhadap Gaza dan lebih penting, untuk meletakkan mereka yang bersama HAMAS dan projek pembebasan Palestin sebagai mereka yang pro kepada kumpulan pengganas.
Kempen ini ternyata satu kempen yang gagal walaupun cuba dipelopori oleh pemimpin rejim pengganas sendiri seperti Netanyahu dan dipelopori oleh media arus perdana seperti CNN kerana HAMAS dan ISIS adalah dua entiti berbeza yang langsung tidak layak untuk dibandingkan. Satu berada di atas jalan perjuangan yang hakiki untuk membebaskan Al-Aqsa dan menentang musuh Allah nombor satu, manakala yang satu lagi terkeliru, terlibat dalam kafir mengkafir dan menumpahkan darah kaum Muslimin sewenang-wenangnya.
Terdapat lima sebab utama mengapa HAMAS dan ISIS adalah langsung tidak layak untuk dibandingkan. Pertamanya adalah kerana HAMAS adalah milik rakyat Palestin dan perjuangannya adalah jelas, iaitu untuk membebaskan setiap inci tanah Palestin yang terjajah daripada cengkaman rejim pengganas Zionis, tokoh-tokoh yang mengasaskan HAMAS dikenali dengan kemuliaan mereka seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantissi dan Salah Syahadah. ISIS pula tidak diketahui milik siapa, bahkan ia muncul daripada kekaburan dan diketuai oleh Abu Bakr Al-Baghdadi, seorang tokoh misteri yang dikatakan di’cipta’ oleh CIA untuk memporak-perandakan umat Islam.
Kedua, sasaran utama HAMAS dan Al-Qassam adalah tentera rejim pengganas Zionis dan lokasi-lokasi strategik di tanah yang terjajah, HAMAS tidak mensasarkan mereka yang tidak berdosa dan tidak ada kena mengena. ISIS pula menjadikan banyak dari kumpulan mujahidin sebagai sasaran utama mereka. Wartawan dan aktivis kemanusiaan juga tidak terlepas daripada penculikan dan pembunuhan oleh kumpulan ini.
Ketiga, HAMAS mengutamakan perpaduan di antara umat Islam. Walaupun telah banyak kali dikhianati oleh kumpulan Fatah, namun HAMAS tetap berusaha untuk mencari jalan damai dan bersatu dengan kumpulan-kumpulan Islam yang lain di Gaza. Bahkan sebelum peperangan bermula, HAMAS telah mengorbankan pemerintahannya di Gaza untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Fatah. Briged ketenteraan Al-Qassam juga tidak pernah menjadikan kumpulan-kumpulan mujahidin lain sebagai sasaran, bahkan mereka berjuang bersama-sama kumpulan-kumpulan lain seperti Saraya Al-Quds dan Jihad Islam untuk menentang rejim pengganas Zionis yang menceroboh tanah rakyat Palestin. Sementara itu, ISIS diketahui umum menjadikan kumpulan-kumpulan mujahidin lain sebagai sasaran. ISIS sewenang-wenangnya mengkafirkan kumpulan-kumpulan mujahidin yang lain dan mengisythiharkan perang terhadap mereka.
Keempat, tentera-tentera HAMAS dan Al-Qassam ditarbiah dengan tarbiah Islam daripada sumber yang sahih dan setiap mereka sebelum direkrut menjadi tentera, ditapis tahapan keimanan dan akhlak dan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh menyertai ketumbukan tentera Briged Al-Qassam. ISIS pula menggunakan media sosial untuk merekrut tentera dan banyak pemuda yang berfahaman radikal, tidak matang dan tidak cukup ilmu akhirnya tertipu dengan lambaian jihad oleh ISIS. Mereka ini akhirnya dipergunakan oleh musuh untuk memecahkan kesatuan umat Islam sendiri.
Kelima, HAMAS dan Al-Qassam walaupun menjadikan jihad bersenjata sebagai jalan utama untuk menentang penjajahan, tetapi tidak sewenang-wenangnya mengisythiharkan khilafah dan melantik khalifah dan menuntut agar seluruh umat Islam taat pada mereka seperti yang dilakukan oleh ISIS. HAMAS yang walaupun mempunyai hubungan yang rapat dengan Ikhwan Muslimin yang menjadikan khilafah Islam sebagai salah satu matlamat panjang perjuangan, memahami bahawa jalan untuk membina khilafah adalah satu jalan panjang yang memerlukan kesepakatan sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia. ISIS yang dinyatakan sebagai mempunyai ciri-ciri kumpulan khawarij, seperti yang diketahui, melantik Al-Baghdadi sebagai khalifah dan memohon bai’ah seluruh umat Islam pada mereka, satu tindakan ekstrem, tergesa-gesa dan langsung tidak mempunyai nilai di sisi syara’ menurut Syeikh Yusuf Al-Qardhawi.
Kesimpulannya, HAMAS bukan ISIS dan ISIS bukan HAMAS. Perbezaan antara keduanya adalah amat jelas, sejelas perbezaan antara malam dan siang. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mungkin ISIS adalah ciptaan musuh-musuh Islam yang diketuai oleh rejim pengganas Zionis untuk memberikan gambaran buruk kepada setiap kumpulan mujahidin yang berjuang menentang kemerdekaan dan kumpulan-kumpulan Islam yang berjuang untuk membangkitkan semangat Islam di negara masing-masing.
 
Adalah amat penting untuk setiap umat Islam memisahkan diri dari ISIS dan menjadikan HAMAS dan Al-Qassam sebagai gerakan Islam contoh dalam memperjuangkan kedaulatan dan kemuliaan Islam. We are not ISIS, instead, We are all Al-Qassam!
 
Mohd Hisham Mohd Sharif 
Aktivis
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Australia

No comments:

Post a Comment