Saturday, 9 August 2014

Zionis kembali membunuh


Gaza City: Sejurus selepas tempoh gencatan senjata 72 jam berakhir 1 petang semalam (waktu Malaysia) Israel kembali memulakan serangannya dan seorang budak berusia 10 tahun menjadi mangsa pertama rejim Zionis itu.
Media melaporkan serangan itu dilancar selepas pejuang Palestin ‘mengirim’ roket mereka menjelang detik akhir gencatan senjata pada jam 8 pagi (waktu tempatan).

Penduduk Gaza kemudian meninggalkan rumah masing-masing dalam kebimbangan sebelum Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran untuk bertindak dalam skala besar-besaran. Kematian budak itu menamatkan ketenangan tiga hari selepas Hamas dan Israel bersetuju menghentikan serangan yang bermula sejak 8 Julai lalu.
Jurucakap perubatan di Gaza berkata, korban pertama semalam adalah budak lelaki yang terbunuh selepas Israel mengebom sebuah masjid di kawasan Sheikh Radwan di utara Gaza City. “Tujuh lagi mangsa, termasuk seorang wanita, cedera,” katanya.

Saksi berkata, Israel turut mengebom timur dan utara Gaza City. Tentera Zionis pula mendakwa, sasaran itu adalah ‘tapak pengganas’ yang diserang selepas pejuang Palestin menembak 33 roket ke Israel menyebabkan dua orang, termasuk seorang tentera cedera. Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyatakan bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Netanyahu kemudian mengarahkan tentera bertindak balas ‘sepenuhnya.’ Sementara itu usaha mendapatkan gencatan senjata lebih lama terus dijalankan di Mesir. - AFP
Foto
ASAP, debu dan serpihan bangunan kelihatan di Gaza City selepas Israel menyambung semula serangan mereka ke bandar itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

No comments:

Post a Comment