• Serangan Israel sejak lebih 30 hari lalu menyebabkan kemusnahan besar di bumi Palestin. Foto: AFPSerangan Israel sejak lebih 30 hari lalu menyebabkan kemusnahan besar di bumi Palestin. Foto: AFP

BAITULMAQDIS - JERUSALEM. Hamas tidak mahu mengaku kalah dan nekad membalas dendam terhadap serangan yang telah mengorbankan lebih 1,800 nyawa rakyatnya.

Kenyataan Tel Aviv untuk menghapuskan Hamas juga dilihat cabaran buat kumpulan itu untuk tidak mengaku kalah.

Selepas berakhirnya genjatan senjata 72 jam semalam, Hamas melepaskan tembakan roket ke arah Israel selepas mengisytiharkan mereka tidak bersetuju untuk melanjutkan genjatan senjata.

Tepat jam 8 pagi (waktu tempatan), siren amaran roket dihidupkan di Majlis Daerah Ashlekon selepas sekurang-kurangnya 10 roket dilancarkan di sekitar bandar dan kawasan berhampiran.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, tujuh roket jatuh di kawasan terbuka di rantau Ashlekon dan terdapat juga bedilan yang tersasar di selatan Genting Gaza.

Difahamkan, roket dibedil tepat jam 8 pagi sejurus selepas genjatan senjata tiga hari tamat pada pukul 5 pagi.

Menurut jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri, semua pihak Palestin termasuk Hamas bersetuju untuk tidak memperbaharui sebarang genjatan senjata kerana Israel enggan memenuhi permintaan mereka.

"Tiada perjanjian untuk melanjutkan genjatan senjata, tetapi kita akan terus berunding di Kaherah, Mesir,"katanya.

Sementara itu menurut laporan Agensi, IDF membalas serangan roket Hamas pada jam 11 pagi selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tersebut berbuat demikian.

Baitulmaqdis berharap, Hamas akan bersetuju untuk mengadakan satu lagi genjatan senjata 72 jam bagi memberi masa kepada pasukan rundingan Israel dan Palestin di Kaherah mencapai persetujuan bagi mengakhiri Operasi Perlindungan Sempadan yang memasuki hari ke 31 hari ini.