Friday 22 August 2014

Israel sasar komander Hamas


Penduduk Palestin memenuhi tapak sebuah rumah yang musnah dibedil Israel bagi mencari mangsa terperangkap di Rafah, selatan Genting Gaza, semalam. - AFP
GAZA CITY 21 Ogos - Tiga komander sayap bersenjata pergerakan Hamas adalah antara 15 orang yang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Genting Gaza hari ini, ketika Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu berikrar mahu meneruskan serangan ke atas wilayah Palestin itu.
Briged Izzuddin al-Qassam mengesahkan tiga anggota tertinggi briged itu terbunuh. Mereka ialah Mohammed Abu Shamala, Raed al-Atar dan Mohammed Barhum, yang terbunuh dalam serangan di bandar Rafah, sehari selepas isteri dan anak lelaki ketua briged itu, Mohammed Deif terkorban akibat dibedil oleh tentera rejim Zionis.
Bagaimanapun, Mohammed Dief disahkan terselamat daripada serangan itu dan al-Qassam memberi amaran untuk meneruskan perjuangan menentang Israel yang melancarkan serangan ke atas Gaza yang kini memasuki hari ke-45.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, serangan udara tentera Israel berkenaan turut memusnahkan sebuah bangunan kediaman empat tingkat.
Seorang penduduk Palestin turut dilaporkan terbunuh di kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza.
Dalam pada itu, Netanyahu semasa berucap pada sidang akhbar di Tel Aviv berkata, Operasi Perlindungan Sempadan ke atas Gaza yang bermula sejak 8 Julai lalu akan dilanjutkan bagi memulihkan keamanan dan menjamin keselamatan penduduk Israel.
Malah beliau berkata, satu lapisan diplomatik baharu akan dicapai oleh Israel di rantau ini iaitu merujuk kepada hubungan diplomasi dengan Palestin selepas perang itu berakhir.
"Saya merasakan perubahan dramatik akan berlaku di rantau Asia Barat melibatkan hubungan diplomatik baharu Israel (dengan Palestin)," katanya tanpa menjelaskan tempoh operasi berkenaan akan disambung.
Sementara itu, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri mengutuk kenyataan Netanyahu sebagai cubaan terdesak untuk menenangkan keresahan penduduk Yahudi dan ugutan rejim Zionis ke atas kepemimpinan Hamas juga menunjukkan keganasan Israel, selain sikap tidak serius Israel dalam mencapai gencatan senjata.
"Ugutan tersebut tidak akan menggoyahkan perjuangan dan pemimpin Hamas.
"Malah kami akan terus melindungi dan mempertahankan rakyat Palestin daripada menjadi mangsa kekejaman dan jenayah Israel," katanya. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140822/lu_02/Israel-sasar-komander-Hamas#ixzz3B4LwoTwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment