WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Ogos 2014
GEORGETOWN - "Kami sekeluarga tidak pernah putus mendoakan keselamatan ahli keluarga yang kini sedang berusaha memasuki Gaza".
Demikian menurut Annas Araby Al Kahery, 37, mengenai keadaan adiknya, Sani Araby Al Kahery, 30 yang kini sedang berhempas pulas memasuki negara bergolak itu.
Annas berkata, hampir setiap malam jemaah masjid di Masjid Sembilang Seberang Jaya mendoakan keselamatan sukarelawan.
“Itu adalah ‘senjata’ yang kami gunakan setakat ini, tiada apa yang lebih berguna melainkan mendoakan keselamatan semua umat Islam di sana,” katanya kepada Sinar Harian.
Ini bukan kali pertama adik lelakinya yang juga Pengarah Strategik Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) itu menyertai misi ke Palestin.
“Sebenarnya keadaan yang paling kritikal pernah dialami adik saya ialah pada 2012 yang mana pada masa itu dia sudah berjaya memasuki Gaza dan mengalami sendiri suasana perang di sana.
“Pada masa itu kami sendiri sebagai ahli keluarga memang berdebar dan sering menanti perkhabaran berita daripadanya,” katanya.
Namun terangnya, kali ini situasi berbeza apabila saat kritikal itu menimpa penduduk Palestin yang kini ibarat terkepung.
Ia menyebabkan sukarelawan termasuk Sani resah berikutan misi bantuan dan sebagainya tertangguh sejak Ramadan lalu.
Annas berkata, beliau sering menghubungi adiknya itu melalui media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp.
Menurutnya, selain menyertai misi, Sani turut menyalurkan pelbagai maklumat dan berita terkini mengenai keadaan di Gaza melalui laman Facebooknya.
“Disebabkan keadaan yang tidak stabil di sana, kami hanya akan berhubung dengannya pada waktu dia senang sahaja, jika kami tengok dia online, baharulah kami berhubung.
“Apa yang menjadi resah bagi kami sekiranya dia sudah lama tidak membuka sebarang perhubungan, namun kami juga ingin meminta seluruh umat Islam mendoakan supaya sukarelawan kita berjaya memasuki Gaza tidak lama lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment