Serangan berhampiran Rafah, bandar di selatan Gaza itu antara 20 serangan dilancarkan Israel sepanjang malam kelmarin.
Dalam mesej kepada media, Hamas mengesahkan, tiga pemimpin kanan tenteranya Mohammed Abu Shamaleh, Mohammed Barhoum dan Raed al-Attar — terbunuh bersama-sama tiga yang lain.
Polis dan pegawai perubatan Gaza berkata, puluhan orang tertimbus di bawah runtuhan bangunan empat tingkat yang musnah dalam serangan berkenaan.
Ketiga-tiga pemimpin Hamas itu dianggap pemimpin paling kanan sayap tenteranya dan terbabit dalam beberapa serangan ke atas Israel.
Agensi perisikan Israel, Shin Bet mengesahkan kematian Shamaleh dan al-Attar, tetapi tidak menyebut Barhaoum.
Israel menyambung semula keganasannya selepas rundingan mengadakan gencatan senjata jangka panjang di Kaherah menemui jalan buntu.
Kekejaman Israel sejak 7 Julai lalu setakat ini meragut hampir 2,100 nyawa warga Palestin, kebanyakannya orang awam sedangkan dipihaknya, daripada 67 orang yang mati, hanya tiga daripadanya orang awam.
Pegawai kesihatan Palestin Ashraf al-Kidra berkata, puluhan orang mungkin terimbus di bawah runtuhan dalam serangan di Rafah itu.
Di tempat lain, satu lagi serangan Israel di tengah Gaza membunuh lelaki berusia 27 tahun, Jomma Anwar Mayar.
Israel turut menyerang apa yang didakwanya terowong penyeludupan di sepanjang sempadan Gaza dengan Mesir dan sebuah kawasan pertanian di barat Rafah.
Israel sebelum ini menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif.
Serangan itu bagaimanapun membunuh isteri dan bayi Deif.
Hamas berkata, Deif terselamat.
Hamas berkata, Deif terselamat.
Berucap menerusi televisyen, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan bongkak berkata, rejimnya akan meneruskan serangan ke atas Gaza selagi perlu.
Rundingan di Kaherah gagal selepas Israel dan Mesir enggan menarik balik sepenuhnya kepungan ke atas Gaza seperti yang dituntut Hamas.- AP
AHLI keluarga al-Rifi meratapi kematian tiga kanak-kanak di bilik mayat Hospital al-Shifa, semalam. |
PETUGAS bertungkus-lumus mengeluarkan jenazah mangsa yang tertimbus disebalik runtuhan kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel yang menyebabkan tiga komander kanan Briged Al-Qassam terbunuh.
No comments:
Post a Comment